ETIKA ALAM SIBER

ETIKA DI ALAM SIBER

Oleh

Zuridah Hanim bt Md. Akhir

(SEPERTI YANG DISIARKAN DALAM DEWAN SISWA FEBRUARI 2013)

Kes 1:

Avatar :  Aaron Aziz

Nama pena : Pemuda kacak

Kerjaya : Pramugara

Identiti sebenar : pelajar lelaki tingkatan dua

 

Kes 2 :

Avatar :  Song  Hye Kyo  (Artis Korea) Song Hye Kyo

Nama pena : Annyeong Hasayo

Kerjaya : Model Sambilan

Identiti sebenar : pelajar perempuan  darjah enam.

 

Fenomena ini bukanlah suatu yang luar biasa. Ramai yang bersembunyi di sebalik wajah orang lain apabila berinteraksi di alam siber. Berdasarkan perangkaan pada tahun 2008, remaja antara  umur 15  hingga 19 tahun merupakan peratusan pengguna terbesar di alam siber. Anak-anak yang dilahirkan antara tahun 1980an hinggalah penghujung 2001 atau lebih sinonim dengan nama Generasi Y telah menjadikan internet terutamanya laman jaringan sosial seperti “Facebook”, “You Tube”, “Twitter” dan “Myspace” sebagai sebahagian daripada keperluan hidup mereka. Malah adalah menghairankan dan dianggap tidak mengikut tren seandainya mereka tidak mempunyai akaun e-mel sendiri.  Dunia siber umpama  ruang pasar yang amat luas, misteri, bersifat global dan segalanya yang berlaku tidak mewajibkan kita bertemu secara nyata di alam sebenar.

 

Apakah yang dimaksudkan dengan alam siber ? Menurut kamus Dewan, siber bermaksud sesuatu yang dikaitkan dengan komputer dan internet. Istilah dunia siber mula diperkenalkan oleh seorang penulis sains fiksyen, William Gibson pada tahun 1984.  Menerusi buku fiksyennya yang bertajuk  “Neuromancer”, beliau menggambarkan alam siber sebagai satu istilah tekno yang berfungsi sebagai kata laluan untuk semua idea sibernatik. Kini istilah ini digunakan secara meluas untuk menggambarkan sesuatu yang berkaitan dengan komputer, teknologi  maklumat,  internet dan pelbagai budaya internet yang merujuk kepada dunia atas talian sebagai media komunikasi.bulan membaca 1 027

Selaras dengan perkembangan internet Web 2.0, berlaku gelombang besar dalam peranan pengguna siber. Mereka tidak lagi sekadar menjadi pemerhati tetapi turut menjadi penyumbang kepada kandungan laman web. Menerusi aplikasi jaringan sosial seperti Twitter dan Facebook, ruangan forum dan blog, pengguna disediakan platform untuk menyumbangkan bahan seperti gambar (flickr), video (You Tube), lagu (Project Playlist) mahupun urusniaga jual beli produk menerusi mudah.com, eBay atau lelong. Peranan yang dimainkan oleh setiap individu  di alam siber membolehkan setiap insan mempunyai kuasa tersendiri walaupun bersembunyai di sebalik ‘avatar’ dan nama samaran. Risiko kecurian maklumat peribadi, gambar dan video yang dimuat naik amat tinggi apatah lagi ramai pengguna khasnya golongan remaja dengan mudah mendedahkan maklumat diri masing-masing.  Keadaan ini mendedahkan pengguna khasnya golongan remaja kepada jenayah di alam siber !

 

Jenayah Alam Siber

Menurut CyberSecurity Malaysia, sebanyak 4000 kes jenayah siber telah dilaporkan sejak tahun 2008. ZDNet Asia pula melaporkan 75 peratus responden di rantau ini mengatakan sistem mereka dicerobohi penjenayah siber pada tahun 2009. Kes-kes ini biasanya melibatkan penggodam professional yang mempunyai tahap kemahiran komputer yang tinggi sehingga berjaya menceroboh laman-laman web persendirian,  kerajaan dan bank-bank bertaraf antarabangsa. Kesannya, berlaku proses pindahan wang bernilai jutaan ringgit. Kes-kes sebegini tidak harus dipandang ringan kerana jenayah siber yang dilakukan oleh penggodam profesonal ini hanya perlu mendapatkan  maklumat menerusi akaun e-mel peribadi mangsa. Kecurian maklumat peribadi  bermakna  penggodam bebas melakukan apa sahaja dengan menggunakan identiti mangsa ! Terdapat beberapa kes jenayah siber  berlaku yang hanya bermula dari pencerobohan akaun e-mel peribadi

  1. Akaun e-mel digunakan untuk menghantar   mesej berbentuk lucah kepada teman-teman, rakan sekerja, klien-klien dan   majikan. Kesannya, mangsa dibuang kerja atas alasan beliau merupakan individu  yang tidak beretika dan memalukan organisasi.
  2. Transaksi pengeluaran wang menerusi   perbankan internet oleh pihak ketiga. Terdapat penggodam licik yang membuat tranksaksi secara berkala tetapi berterusan melibatkan ratusan akaun peribadi sehingga tidak disedari oleh pemilik sebenar akaun.
  3. Mangsa ditipu menerusi laman web ‘bank  palsu’. Apabila mangsa melayari laman web tersebut untuk membuat perbankan internet dengan memasukkan nombor akaun dan nombor pin, penggodam dapat  menjejaki identiti dan membuat transaksi di laman web bank sebenar.
  4. Mangsa dirogol  dan kemudian dilacurkan setelah keluar  dengan “kekasih’ yang dikenali secara maya. Mangsa berkenalan secara maya  menerusi ruangan ‘sembang’. Kebanyakan ibu bapa mangsa terkejut dengan kejadian      ini kerana beranggapan anak-anak mereka seorang yang anti-sosial dan lebih    gemar menghabiskan masa berada di rumah terutama di depan skrin komputer.
  5. Seorang remaja wanita terkejut dan menyesal   apabila rakaman aksi ghairahnya yang “dihadiahkan” kepada teman lelakinya  telah dimuat naik menerusi ‘You Tube’ setelah mereka bergaduh sehingga  menyebabkan perpisahan.
  6. Mangsa menerima e-mel dan mesej pesanan   ringkas (SMS)  palsu  kononnya dari Bank Negara Malaysia, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, atau pengawai bank. Mangsa diminta membuat  pindahan wang atau memberikan nombor akaun beserta nombor  pin untuk memudahkan urusan. Maklumat      mangsa  diperoleh dari internet.
  7. Seorang remaja lelaki berusia sebelas  tahun  sering diganggu fidofilia   yang menghantar gambar porno kepadanya sehingga menyebabkan gangguan      emosi.
  8. Mangsa kehilangan kontrak jutaan ringgit   apabila e-mel yang ditunggu tidak kunjung tiba walaupun pengirim telah  menghantarnya beberapa kali. Kejadian ini berlaku apabila akaun e-mel  mangsa tiba-tiba penuh dengan ‘spam’ yang dihantar menyebabkan sebarang   mesej terbaru tidak dapat diterima.

20130117_123922

Dalam dunia internet hari ini, penggodam tidak semestinya  mereka yang benar-benar pakar dalam bidang komputer. Terdapat beberapa kes yang berlaku, penggodam hanyalah kanak-kanak atau remaja belasan tahun. Tiada keperluan khusus untuk menjadi penggodam kecuali berniat jahat, mempunyai kemahiran komputer dan tidak mudah putus asa berusaha. Tambahan pula teknik menggodam boleh didapati dengan mudah menerusi internet. Di samping itu, teknik penipuan juga membabitkan kes mencuri identiti,  spam, “phishing”, pencurian data, “malware” dan sebagainya.

 

Etika di alam Siber.

Para remaja boleh mengelakkan diri dari menjadi mangsa siber sekiranya berada di alam maya secara beretika. Pendedahan berkaitan jenayah siber perlu didedahkan supaya para remaja mengetahui risiko yag bakal diterima dan sentiasa berusaha untuk mengelak dari menjadi mangsa. Berfikirlah dahulu sebelum mendedahkan maklumat peribadi di ruang maya dan belajarlah kaedah melindungi diri dan pengguna lain daripada terjebak. Kepercayaan tidak boleh diberi kepada individu yang dikenali menerusi internet.

Terdapat beberapa garis panduan  yang perlu dipatuhi pengguna  komputer. Yang pertama, melaburlah untuk membeli program antivirus yang  baik dan menyediakan pertahanan yang secukupnya pada komputer peribadi anda. Sebaik-baiknya komputer peribadi anda mempunyai ‘firewall” untuk mengelakkan daripada mudah dicerobohi. Kata laluan perlu sentiasa dikemaskini dengan  penggunaan aksara yang lebih selamat dan sukar diakses oleh orang lain. Jangan sesekali mendedahkan maklumat peribadi kepada orang lain.

Kedua, jangan sesekali membuka e-mel daripada orang yang tidak anda kenali, yang tiada tajuk atau meragukan. Terus buang e-mel berkenaan. Jika anda membuka juga e-mel berkenaan, pastikan anda tidak terus menekan pada pautan yang disediakan. Biasanya transaksi rasmi dalam talian tidak akan menghantar emel yang mempunyai pautan di dalamnya.

Seterusnya, berhati-hatilah apabila bersembang menggunakan ruangan ‘chatting atau messenger’ dengan orang yang tidak dikenali. Sebaiknya, abaikan sahaja mesej yang diterima. Penipu biasanya mempunyai kemahiran hebat mempengaruhi mangsa dengan kata-kata. Elakkan menjadi terlalu peramah atau memasang angan-angan  mencari  kenalan di ruangan maya. Banyak kes rogol, penculikan dan pembunuhan bermula daripada ruangan sembang di internet. Jangan mudah membuat temu janji. Sekiranya anda bersetuju untuk bertemu, anda sebenarnya telah meletakkan sebelah kaki anda dalam perangkap mereka.

Keempat, jangan buka sebarang lampiran (“attachment”) yang  dihantar tanpa dimbas terlebih dahulu. Terdapat juga lampiran yang dihantar menggunakan identiti  mereka yang dikenali. Identiti ini boleh diperoleh dengan mencuri masuk ke dalam “Microsoft Outlook” pada komputer. Di samping itu, jangan mudah terpedaya dengan godaan untuk menjadi  kaya dengan cepat  menerusi pelaburan yang menjanjikan keuntungan berlipat ganda. Sebaik-baiknya hadirilah kursus pemasaran di internet yang dianjurkan secara berdaftar sekiranya akan berminat mencari  wang sampingan di internet.

Selain itu, jangan mudah mengeluarkan wang sebagai deposit untuk mendapatkan sesuatu yang dijanjikan. Antara yang kerap menarik perhatian remaja kini ialah menjadi responden soal selidik yang kononnya diuruskan oleh agen yang bekerja untuk syarikat korporat atau bekerja sampingan di rumah untuk menjana pendapatan. Iklan sebegini memerlukan anda mengeluarkan sedikit wang sebagai modal. Sebenarnya kebanyakan syarikat yang terlibat tidak membuat sebarang perniagaan yang dijanjikan sebaliknya memperoleh pendapatan menerusi kutipan deposit secara berantai daripada mangsa.

Gunakanlah fikiran yang rasional dan waras semasa membuat penilaian untuk  mendapatkan sebarang sumber maklumat di internet. Tidak semua yang dipaparkan dalam internet adalah benar. Malah terdapat penulis blog yang menggunakan internet sebagai media untuk mempengaruhi orang lain. Bagi remaja Islam, penilaian yang teliti perlu dibuat kepada sebarang fakta terutama yang melibatkan hukum hakam Islam. Pastikannya anda mendapat fakta yang betul daripada laman web yang berdaftar.

Sebagai remaja yang kebanyakkannya masih menuntut ilmu, internet merupakan sumber terpantas bagi mendapatkan maklumat. Setiap ilmu yang diperoleh perlu dimanfaatkan untuk tujuan kebaikan. Jangan sesekali mempunyai niat mencari ilmu yang boleh memudaratkan diri dan orang lain. Kebebasan memperoleh maklumat di hujung jari ini memerlukan kekuatan dalaman diri agar wujud satu dinding yang memisahkan kita dengan maklumat-maklumat yang tidak perlu.

Akhir sekali, letakkan tujuan sebenar kita melayari internet. Jangan sesekali tersilap dan tergoda dengan paparan untuk melayari laman web yag boleh menggoda diri atau menaikkan nafsu anda. Elakkan sama sekali melayari laman web porno. Bukan sahaja berdosa di sisi agama, malah laman web porno akan melahirkan generasi muda yang rosak pemikirannya, mempunyai minda yang kotor serta boleh menyebabkan ketagihan yang teruk. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Ketagihan melayari laman web porno sama seperti mengalami masalah ketagihan dadah, arak atau seks yang sukar diatasi. Gejala ini turut memberi kesan kepada kesihatan diri dalam jangka panjang.

Sebagai langkah perlindungan,  para remaja boleh mengambil langkah-langkah berikut semasa menggunakan internet:-

  1. Melindungi maklumat peribadi dengan tidak memberi nombor akaun anda      kepada orang yang tidak dikenali.
  2. Melindungi kata laluan dan tidak mendedahkan kepada orang lain. Hal      ini termasuklah tidak melekatkan kata laluan di tempat umum atau      menyimpannya di dalam dompet. Dikuatiri apabila anda kehilangan dompet,      anda juga turut kehilangan pelbagai benda lain termasuk maruah diri.
  3. Mengenali dan tahu  dengan      siapa anda berurusan  menerusi ruang      internet.
  4. Sentiasa mengemaskini perisian anti-virus, anti-spyware dan      mempunyai ‘firewall` yang aktif untuk melindungi komputer anda.
  5. Senantiasa membuat salinan pada fail-fail yang penting dan disimpan      di tempat yang selamat.

 

Tindakan yang Melanggar Etika

Selaku pengguna internet yang beretika, para remaja perlulah menyedari bahawa adalah menjadi satu kesalahan sekiranya melakukan perkara-perkara berikut di ruang maya samada  secara langsung mahupun tidak langsung dengan bersubahat dengan orang lain dalam aktiviti  :-

  1. Menyalur sebarang      bahan haram, lucah, mengancam, menekan, mengugut, menghina, memfitnah atau      menabur perasaan benci sesama rakyat Malaysia atau luar Negara.
  2. Menggalakkan perilaku      yang boleh menyebabkan kekacauan dan ketegangan serta perlanggaran undang-undang      Malaysia dan antarabangsa.
  3. Menganjurkan aktiviti      yang membahayakan individu, organisasi atau masyarakat.
  4. Menggalakkan,      membangun atau menjalankan aktiviti haram seperti skim cepat kaya, surat      berantai dan skim piramid serta lain-lain aktiviti yang dilarang oleh      Perlembagaan Malaysia.
  5. Menghantar iklan yang      tidak dikehendaki menerusi emel, sengaja membanjiri akaun e-mel orang lain      dengan menghantar emel yang sama atau bersaiz besar atau menghantar mesej      yang sama kepada banyak kumpulan berita (“newsgroup”).
  6. Memalsukan e-mel      untuk mengelirukan penerima.
  7. Menceroboh      (“hacking”) sistem kepunyaan orang lain secara haram sehingga terdapat      gangguan sistem.
  8. Memberi maklumat yang      salah kepada sebarang borang, kontrak atau permohonan atas talian termasuk      memalsukan kad kredit.
  9. Melaksanakan sebarang      bentuk pemantauan rangkaian bagi mencuri atau memintas data pihak lain.

 

Semuanya di hujung jari anda !  Perubahan gaya hidup dan ledakan kemajuan maklumat memerlukan etika yang tinggi agar kita dapat sama-sama melahirkan generasi celik komputer yang beretika. Sememangnya remaja hari ini mempunyai cabaran besar dalam menentukan kesahihan maklumat, mengelakkan diri dari menjadi pelayar web negatif dan tidak mengunakan ruang maya untuk mengfitnah.  Elakkan daripada melakukan pencemaran bahasa . Pepatah Melayu ada menyebut

“Yang kurik itu Kendi , yang merah itu saga”

“Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa “

Remaja yang menyentuh papan kekunci komputer perlulah mengamalkan etika yang telah digariskan dan melayari internet dengan penuh tanggungjawab supaya perubahan corak hidup moden yang kita alami hari ini tidak akan merubah paradigma sosiobudaya dan bahasa komunikasi kita seharian. Jangan biarkan fikiran dan tindak tanduk kita dijajah oleh alam siber dan jaringan maya ciptaan kita sendiri. Jadikanlah pegangan agama sebagai rujukan. Segalanya ditangan kita !

,

 

Advertisements

JADILAH PENGGUNA BIJAK

WAHAI  REMAJA : JADILAH PENGGUNA YANG BIJAK !

 Oleh

Zuridah Hanim bt Md Akhir

(SEPERTI YANG DISIARKAN DALAM  DEWAN SISWA DISEMBER 2012)

Data yang mengejutkan !  Dapatan ini  perlu direnung bersama buat remaja.  Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia mendedahkan, setiap hari 41 orang pekerja muda diisytiharkan muflis. 50% daripada mereka yang mendapatkan bantuan kewangan dan kaunseling adalah di bawah umur 35 tahun. Lebih daripada 60% pekerja muda terlebih hutang. Lebih mengejutkan, 77 % pengguna beranggapan bahawa keupayaan mereka menguruskan kewangan adalah lemah. 72% pengguna tidak mempunyai pelan persaraan. Persoalannya, mengapakah data-data ini perlu didedahkan? Apa signifikannya kepada remaja?  Apakah kolerasi  antara kewangan, pengguna dan pekerja muda? Yang paling penting siapakah sebenarnya pengguna dan apakah peranan remaja ?

Senario yang berlaku hari ini jelas membuktikan bahawa pengetahuan berkaitan Pendidikan Pengguna dalam kalangan golongan muda hari ini adalah sangat cetek. Persoalan-persoalan yang diutarakan sebenarnya jarang sekali dibincangkan di peringkat sekolah dan  institusi pengajian tinggi apatah lagi dalam perbualan harian kita setiap hari. Malah, ilmu kepenggunaan tidak diajar secara langsung di sekolah-sekolah kecuali menerusi Kelab Pengguna  Sekolah yang ada kalanya umpama  “hidup segan mati tak mahu”.   Persoalan berkaitan kepenggunaan biasanya dibincangkan secara tidak langsung di dalam kelas-kelas berorientasikan peperiksaan dan jarang sekali diskusi yang lebih mendalam dibuat untuk memperlihatkan impak besar peranannya dalam kehidupan kita pada masa hadapan.  Tahap pengetahuan berkaitan Pendidikan Pengguna yang cetek inilah menyebabkan para remaja yang setahun jagung memulakan langkah ke alam dewasa, berjaya memperoleh segulung ijazah namun gagal menjadi pengguna yang bijak terutama dalam aspek pengurusan kewangan.

Siapakah sebenarnya pengguna ? Mengikut Akta Perlindungan Penggguna 1999, pengguna ditakrifkan sebagai orang perseorangan yang terlibat dengan pembelian barangan dan perkhidmatan untuk tujuan kegunaan sendiri.  Akta ini tidak terlibat sekiranya barangan yang dibeli adalah untuk tujuan perniagaan.  Mantan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato` Seri Dr. Mahathir b. Mohamed, semasa majlis Perasmian Hari Pengguna Sedunia 1992 telah memberi takrifan yang tepat dan  telah diguna pakai sehingga kini berkaitan siapa sebenarnya pengguna. Menurut beliau, semua rakyat Malaysia tanpa mengira kedudukan dan umur, bangsa dan agama adalah pengguna. Setiap insan adalah pengguna yang menjadi asas segala kegiatan ekonomi dan  memerlukan barangan, perkhidmatan atau kurniaan alam semulajadi. Dalam hal ini, para remaja tidaklah terkecuali.  Jiwa remaja yang “berdarah muda”,  perasaan ingin mencuba yang tinggi, sentiasa mahukan sesuatu yang terkini, tidak mahu dikatakan tidak mengikut tren atau ketinggalan zaman dan sentiasa ingin kelihatan ‘hebat’ berbanding rakan sebaya menyebabkan pengeluar seringkali menjadikan remaja sebagai golongan sasaran utama untuk  meraih keuntungan.

Sehubungan itu,  menjadi remaja yang cemerlang dan berwawasan tidak lengkap pakejnya sekiranya gagal menjadi pengguna yang bijak. Hal ini kerana ilmu kepenggunaan akan mempengaruhi corak keseluruhan  hidup  kita bermula daripada asas memilih barangan dan perkhidmatan untuk kegunaan harian, kemahiran membuat keputusan kewangan, amalan gaya hidup dan pengetahuan mengenai hak-hak selaku pengguna. Ilmu kepenggunaan ini membolehkan seseorang membuat pilihan yang terbaik bagi dirinya menggunakan sumber yang terhad. Tanpa pengetahuan ilmu asas kepenggunaan,  kita mungkin berbelanja sesuka hati dan membuat pembelian barangan yang sebenarnya tidak diperlukan. Walaupun mampu dari segi ekonomi , pembelian tersebut merupakan satu pembaziran. Wang yang dibelanjakan boleh disimpan untuk tujuan pendidikan ataupun kecemasan. Remaja seharusnya sedar betapa pentingnya Pendidikan Pengguna agar kita menjadi pengguna yang bijak.

Dalam membincangkan topik kepenggunaan, istilah konsumerisme tidak wajar ditinggalkan. Konsumerisme bermaksud segala kegiatan yang dilakukan bertujuan untuk menjaga hak kita selaku pengguna. Sehubungan itu, untuk menjadi pengguna yang bijak, remaja haruslah tahu hak-hak yang diberikan supaya mendapat barangan dan perkhidmatan yang berkualiti dan tidak dieksplotasi oleh pengeluar atau penjual.  Kerajaan  telah membentuk  lapan hak pengguna  yang berbentuk peraturan untuk melindungi hak serta  kepentingan pengguna iaitu :-

  1. Hak untuk mendapat  keperluan asas.
  2. Hak untuk mendapat  keselamatan
  3. Hak untuk mendapat  maklumat
  4. Hak untuk membuat   pilihan
  5. Hak untuk mendapat ganti rugi
  6. Hak untuk menyuarakan pendapat
  7. Hak untuk mendapat  pendidikan kepenggunaan
  8. Hak untuk mendapat alam sekitar yang sihat.

Remaja perlu mengetahui hak untuk mendapat keperluan asas biarpun aspek ini biasanya disediakan oleh ibu bapa  kita. Hak untuk mendapat keperluan asas bermaksud pengguna berhak untuk mendapat keperluan asas bagi meneruskan kehidupan yang memuaskan seperti makanan, pakaian, tempat kediaman, kesihatan, pendidikan, kemudahan awam, air dan sanitasi. Dalam aspek makanan, bekalan yang diterima perlu berterusan, harganya berpatutan, berkualiti dan berkhasiat.  Timbangan dan sukatan yang dibuat adalah bertepatan serta info pemakanan yang diberi adalah tepat dan betul. Pengguna beragama Islam pula berhak mendapat info mengenai status halal yang diluluskan oleh JAKIM.  Remaja sangat sinonim dengan perubahan fesyen dan pakaian. Menerusi hak ini, pastikan pakaian yang dibeli berkualiti dan setara dengan wang yang dibelanjakan. Info pada label pakaian perlu disediakan supaya pengguna menjaga pakaian mengikut cara yang betul. Pengguna juga berhak mendapat tempat tinggal yang selamat seperti yang termaktub dalam Akta Pemaju Perumahan 1966 dan Aka Kontrak 1950.

Pengguna berhak dilindungi daripada barangan dan perkhidmatan yang membahayakan kesihatan dan keselamatan seperti ubat-ubatan, bahan kimia, racun serangga dan peralatan elektronik.  Penggunaan ubat-ubatan perlulah mengikut nasihat pegawai kesihatan terlebih dahulu dan diambil mengikut dos yang ditetapkan. Sekiranya mempunyai kesan sampingan, aduan boleh dibuat mengikut Akta Ubat 1956 atau Akta Pendaftaran Farmasi 1951. Setiap barangan yang dibeli perlu dibaca labelnya terlebih dahulu terutama yang melibatkan penggunaan bahan kimia dan racun serangga. Bagi barangan elektrik pilihlah yang mempunyai kelulusan SIRIM,  mempunyai kad waranti, menjimatkan tenaga dan bersifat mesra alam.

Sebelum membuat keputusan membeli, pengguna berhak mendapatkan maklumat dan fakta yang betul bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang tepat. Aspek hak untuk mendapatkan maklumat ini perlu dikuasai remaja memandangkan remaja mudah terpengaruh dengan iklan terutama barangan baru dan berjenama di pasaran. Jangan mudah terpengaruh dengan gimik promosi dan iklan yang mengelirukan. Dapatkan maklumat yang lengkap dan tepat menerusi label ataupun sebarang penerangan  berkaitan harga barangan,  jaminan mutu, berat dan sukatan, isi kandungan barangan dan cara penggunaan. Hak ini mampu melindungi pengguna khasnya para remaja daripada penipuan akibat amalan perniagaan yang tidak beretika.

Pengguna berhak membuat pilihan untuk memilih barangan terbaik yang ditawarkan oleh peniaga. Sebelum membeli, pengguna perlu memastikan harga barangan berpatutan, barangan dalam keadaan baik, selamat dan menepati contoh yang diberi atau diiklankan. Hak untuk memilih penting supaya pembelian tidak dibuat secara terburu-buru dan pembelian yang dibuat adalah pembelian yang tepat. Penjual tidak berhak memaksa dan membuat keputusan bagi pihak pengguna. Dalam hal ini, para remaja disarankan untuk menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia. Barangan Buatan Malaysia bukan sahaja murah tetapi mutunya setanding dengan barangan berjenama. Kegilaan barangan berjenama dalam kalangan remaja perlu diatasi kerana fenomena ini akan memberi kesan kepada ekonomi Negara dalam jangka panjang.

Remaja berhak menyuarakan pendapat bagi memastikan kepentingan selaku pengguna mendapat pertimbangan sewajarnya dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar kerajaan serta dalam pembangunan barangan dan perkhidmatan. Dalam hal ini, pendapat anda boleh disuarakan melalui badan atau pergerakan penguna contohnya Persatuan Penguna di peringkat negeri masing-masing,  Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional atau menerusi siaran langsung rancangan Kuasa Komuniti Konsumer di Radio Bernama 24 pada  jam 3.15 petang. Melalui pergerakan pengguna ini, segala aduan dan rasa tidak puas hati pengguna dapat disalurkan kepada pihak yang bertanggungjawab bagi menjamin hak dan kepentingan pengguna.

Di samping itu, sebarang pembelian barangan dan perkhidmatan yang mengelirukan, kurang bermutu, tidak memuaskan dan tidak memenuhi spesifikasi yang diiklankan membolehkan pengguna mendapat ganti rugi sebagai penyelesaian yang adil. Pengguna boleh menuntut ganti rugi dalam bentuk wang atau penggantian barang yang dikembalikan. Contohnya jika seorang pelajar membeli sebuku roti di kantin sekolah yang telah tamat tempohnya,  pelajar tersebut berhak mendapat ganti rugi roti yang baru tanpa perlu membuat penambahan harga atau pengembalian wang. Pengguna berhak mendapatkan ganti rugi atas sebab yang berikut :

  1. Barangan yang dibeli tidak berada dalam keadaan baik contohnya tin kemik.
  2. Barangan yang dibeli mengandungi bahan asing yang boleh membahayakan kesihatan
  3. Mutu barangan tidak seperti yang diiklankan
  4. Barangan yang dibeli memudaratkan pengguna

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, setiap remaja di Malaysia berhak mendapat pendidikan dan kemahiran bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang bijak  dan rasional dalam pembelian barangan dan perkhidmatan serta mengamalkan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna. Pengetahuan mengenai hak-hak dan tanggungjawab pengguna boleh mengelakkan pengguna daripada ditipu oleh peniaga yang tidak beretika.  Para remaja boleh mendapatkan ilmu kepenggunaan melalui

  1.  Pendidikan formal di sekolah dan institusi pengajian tinggi.
  2. Pendidikan tidak formal di rumah melalui ibu bapa dan masyarakat sekeliling.
  3. Melalui risalah dan akhbar yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengguna seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
  4.  Menghadiri bengkel, seminar dan ceramah berkaitan kepenggunaan
  5.  Menerusi carian maklumat di laman sesawang dan blog berkaitan kepenggunaan.

Kita juga berhak hidup dan tinggal dalam alam sekitar yang bersih, sihat dan tidak membahayakan kita serta generasi akan datang. Dalam hal ini, penjagaan alam sekitar menerusi kempen penghijauan bumi perlu diberi perhatian agar pencemaran alam dapat dikawal. Pepatah India ada mengatakan bahawa kita tidak mewarisi bumi dari nenek moyang kita melainkan meminjamnya dari anak-anak  kita. Justeru telah menjadi tanggungjawab besar kita hari ini memelihara alam sekitar buat generasi akan datang. Bagi menjayakan hasrat ini, para remaja bolehkan berganding bahu melakukan aktiviti-aktiviti berikut:

  1. Mengadakan aktiviti kitar  semula.
  2. Meningkatkan penanaman pokok   di halaman rumah.
  3. Menggunakan kenderaan awam   atau mengamalkan berkongsi kenderaan
  4. Mengurangkan penggunaan   alatan elektrik yang melepaskan CFC contohnya penghawa dingin.
  5. Pilhlah produk yang mesra  alam
  6. Kurangkan penggunaan beg  plastik. Gunalah beg kitar semula yang lebih menjimatkan !
  7. Kurangkan penggunaan kertas

Ayuh !  Jadilah pengguna bijak.  Sehubungan itu, terdapat empat teras yang perlu diamalkan oleh  remaja untuk menjadi pengguna bijak iaitu  membeli barangan berkualiti, membuat perbandingan harga,  memilih perkhidmatan terbaik dan membuat pilihan yang tepat.  Pengguna yang bijak juga mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

  1. Kesedaran untuk mengkritik   jika berlaku sebarang penyalahgunaan dan penyelewengan terhadap hak-hak      pengguna.
  2. Terlibat dan  mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak-hak pengguna   dilayani dengan adil.
  3. Bertindak dengan  penuh tanggungjawab supaya tindakan yang diambil tidak menimbulkan  sebarang kesulitan yang lebih besar.
  4. Bersatu dan bekerjasama dalam tindakan agar kepentingan tidak mudah digugat.

Sesuatu yang jauh bermula dengan langkah pertama. Sebagai langkah permulaan untuk menjadi pengguna yang bijak, para remaja disarankan untuk menyertai pertubuhan pengguna  mengikut kesesuaian umur.   Antaranya

  1. Kelab Pengguna Sekolah yang berfungsi sebagai nadi  penggerak pendidikan kepenggunaan di peringkat sekolah menengah.   Penglibatan aktiviti  murid memberi    fokus kepada aspek perbelanjaan berhemah, pemakanan seimbang dan  pemeliharaan alam sekitar. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah  ceramah kepenggunaan, pameran kepenggunaan, demonstrasi, Lawatan Sambil Belajar, Projek Kitar Semula, Kem Kelab Pengguna Sekolah, Pertandingan Sudut Pengguna, Kuiz dan Cabaran Interaktif Pengguna
  2. Gerakan Pengguna Siswa yang dianggotai oleh  pelajar-pelajar IPT yang berkongsi minat dalam aktiviti kepenggunaan.  Bergerak berasaskan slogan Ke Arah Generasi Pengguna Sihat, penglibatan  aktiviti ahli  masih memberi fokus  kepada aspek perbelanjaan berhemah, pemakanan seimbang dan pemeliharaan  alam sekitar. Gerakan ini mendapat sokongan dan bantuan sepenuhnya  daripada kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi   dan Kepenggunaan.  Mulai  Disember 2012, setiap universiti akan  menerima geran sebanyak RM 3,000 dalam usaha memperkasakan aktiviti kepenggunaan dalam kalangan siswa.
  3. Penggunaan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia diwujudkan untuk  membantu mengurangkan kos sara hidup para siswa di Institut Pengajian  Tinggi. Dalam pelaksanaan inisiatif ini, kerajaan tidak menangung sebarang   perbelanjaan dan menjadi tanggungjawab sosial bagi syarikat-syarikat serta  bank rakyat yang mengeluarkan kad berkenaan. Diskaun 2 % hingga 60%  diberikan bagi barang dan perkhidmatan yang terpilih tertakluk kepada  terma dan syarat yang ditetapkan
  4. Skuad Pengguna yang dahulunya dikenali sebagai Rakan  Pengguna ditubuhkan untuk membantu kerajaan dalam pemantauan harga barangan      dan perkhidmatan. Keahlian skuad ini melibatkan NGO kepenggunaan dan NGO   bukan kepenggunaan seperti orang ramai, Pasar Raya GIANT dan TESCO.      Keahlian  dibuka kepada rakyat  Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Skuad ini dapat membantu meningkatkan   penguasaan undang-undang menerusi penglibatan orang ramai dalam  memperjuangkan hak-hak pengguna.

Para remaja tidak harus memandang enteng soal pendidikan kepenggunaan. Selagi kita hidup dan bergelar pengguna, selagi itulah ilmu ini perlu ditimba. Kecemerlangan pendidikan yang dicipta tidak lengkap sekiranya kita gagal menguruskan pendapatan dan perbelajaan harian, mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat dan tinggal di dalam persekitaran yang kotor dan tidak selamat . Remaja hari ini adalah pemimpin masa hadapan. Oleh itu elakkan diri anda terjebak daripada belenggu kewangan yang merantai diri. Wang kita hak kita maka berbelanjalah secara bijak. Berpeganglah kepada prinsip “pastikan mutu, bandingkan harga, beli yang perlu”. Barangan keperluan perlulah menjadi keutamaan dan barangan kehendak perlu dikemudiankan supaya setiap ringgit yang dibelanjakan memberi faedah.   Justeru, tuntutlah hak kita sebagai pengguna.  Ayuh! Perubahan bermula dengan diri kita sendiri. Jadilah pengguna bestari.   Pengguna bijak faedahnya banyak !

BAGAIMANA MEMASARKAN PSS

MEMASARKAN PUSAT SUMBER MENERUSI PROGRAM 4P

Oleh

ZURIDAH HANIM BT. MD. AKHIR

Sekolah Menengah Kebangsaan Convent

Kedudukan PSS berada di tingkat 4 dan semestinya tidak strategik. Berdiri megah tanpa pelanggan menyebabkan suasana beku, kaku dan hanya sekadar berfungsi sebagai bilik pameran, walaupun agak ceria dan bersifat bersih namun senario ini gagal  menggamit perhatian guru dan murid – murid untuk berkunjung. Hal ini merupakan fenomena ngeri dan mimpi buruk kepada Guru Perpustakaan Media(GPM) khasnya dan kepada pentadbir sekolah amnya.

 20130101_110327

Program 4P  merupakan akronim kepada perkataan “place” (tempat), “promotion” (promosi), “produc” ’(produk) dan “price” (harga) digunakan secara meluas dalam konsep pemasaran. Malahan sarjana – sarjana pendidikan barat turut mengutarakan idea ini bagi membolehkan pengetua sekolah ‘memasarkan’ sekolah masing – masing. Sehubungan itu, konsep 4P boleh diaplikasikan dalam membangunkan PSS dan menarik seluruh warga sekolah menjadikan PSS sebagai destinasi. Konsep ini telah terbukti keberkesanannya menerusi pengalaman PSS SMK Convent sehingga berjaya dinobatkan sebagai Johan PSS Kebangsaan 2009 dan dianugerahkan Anugerah Kualiti Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia 2009.

 

4 komponen yang perlu diberi perhatian dalam memasarkan PSS ialah :

 

1)      Tempat (Place ) – PSS perlu menjadi tempat guru – guru mengamalkan pembelajaran kendiri menerusi pelbagai kaedah penerokaan maklumat dan membuat rujukan. Wujudkan suasana yang kondusif menerusi ruang – ruang belajar dan membaca yang santai, keceriaan yang ‘sedap mata memandang’ dan menimbulkan mood yang selesa umpama di rumah sendiri.

20130203_103405

Aspek tempat juga turut merangkumi sudut – sudut bacaan, laluan – laluan, taman – taman NILAM dan rangkaian sumber yang bukan sekadar berfungsi untuk keceriaan tetapi mampu memberi info yang berguna kepada murid – murid secara tidak langsung.

 

Kolaborasi seluruh warga sekolah adalah penting supaya setiap unit panitia turut memberi sumbangan di samping menggalakkan budaya ilmu dalam pelbagai bentuk aktiviti sokongan akademik di peringkat panitia. Hal ini secara tidak langsung membantu merealisasikan konsep sekolah ialah Pusat Sumber.

20130203_155522

2)      Produk ( Product ) – Guru Perpustakaan Media perlu ‘menjual’ produk yang dapat memenuhi kehendak pelanggan. Dalam aspek ini, pastikan PSS mempunyai koleksi bahan bercetak dan bahan bukan bercetak yang bersifat terkini dan selaras dengan kehendak kurikulum semasa. Bahan – bahan yang menarik sudah pasti mampu menggamit perhatian para guru dan murid untuk berkunjung ke PSS biarpun seketika.

 

Aktiviti PSS juga merupakan sebahagian daripada produk yang  perlu ‘dijual’oleh pihak PSS. Dalam hal ini, rancanglah aktiviti galakan membaca yang menyeronokkan dan ‘dekat di hati’ murid – murid di sekolah. Libatkan para pengawas sekolah dan pengawas PSS untuk menjana idea bagi merancang aktiviti. Biasanya idea – idea yang dilontarkan lebih bersesuaian dengan kumpulan sasaran memandangkan tahap usia yang sebaya. Selitkan aktiviti permainan galakan membaca yang menyeronokkan. Tidak salah menjadikan PSS umpama Taman Tema Sumber Maklumat kerana telah terbukti golongan dewasa juga lebih tertarik mengunjungi taman tema berbanding PSS yang sunyi dan kaku. Adakan pameran bertema terancang, minggu PSS dan Literasi Maklumat, Info Hunt, pertandingan bercerita, pertandingan ejaan, resensi buku dan promosi buku. Biarlah PSS terus hidup dan sibuk dengan aktiviti daripada membiarkannya sepi tidak berpenghuni.

 

3)      Promosi – Pengawas PSS perlu dilatih sebagai agen promosi setiap aktiviti PSS. Edaran brosur, jualan penanda buku, promosi buku, pengumuman di siaraya dan promosi di perhimpunan merupakan media yang berkesan untuk menarik pelanggan.

 

Guru Perpustakaan Media digalakkan memiliki akaun facebook@twitter untuk berinteraksi dengan murid – murid di samping mempromosi aktiviti PSS. Sekiranya berkemahiran, binalah laman web atau blog yang bukan sahaja mempromosi PSS kepada warga sekolah tetapi juga pihak luar.

20130207_101205

Antara aktiviti promosi PSS yang boleh dijalankan ialah menyelit penanda buku atau hadiah misteri kepada pembaca bertuah yang telah mencapai sasaran pinjaman, mengubahsuai PSS umpama pasaraya senyap yang petugasnya memakai uniform unik yang lebih mesra pelanggan berbanding tali leher yang bersifat lebih formal, memasang lagu – lagu instrumental yang lebih mesra untuk menjadi halwa telinga dan seribu satu aktiviti yang menyeronokkan. Sudah pasti situasi ini menyebabkan murid – murid berlari untuk ke PSS setiap hari.

 

4)      Harga ( Price ) – Dalam kontek PSS,  harga merujuk kepada ‘harga yang diperoleh’ dalam usaha memasarkan PSS. Guru Perpustakaan Media bolehlah membuat analisis penggunaan, analisis pinjaman dan analisis penglibatan  untuk mengukur keberkesanan. Dapatan ini juga dapat membantu Guru Perpustakaan Media membuat penilaian aktiviti dan merancang aktiviti susulan untuk meningkatkan keberkesanan.

 

Kaedah pengurusan PSS perlulah mengalami inovasi selaras dengan peredaran semasa. Apatah lagi generasi Y hari ini tidak suka membaca dan cenderung kepada permainan dan hiburan. Oleh itu, tibalah masa kita merubah kepada budaya membaca yang membosankan kepada budaya membaca yang  menyeronokkan.

20121022_101116

 

10 UCAPAN BERACUN PENUNTUT ILMU

‎10 Ucapan Paling Beracun Seorang Penuntut Ilmu – Prof Dr Muhaya
66900_471522076234326_268556261_n
1. ‘Saya Tidak Tahu di Mana Nak Mula.’ Ini masalah biasa.
Jangan gelabah. Biasalah, kalau kita… bingung dengan jumlah subjek yang banyak untuk di-pelajari. Mulakan dengan menyenaraikan semua perkara yang kita perlu tahu dan yang boleh dicari daripada sukatan pelajaran atau segala yang diberitahu oleh pensyarah. Bahagikan beban kerja pada beberapa bahagian yang boleh diurus. Belajar mengutamakan kerja yang utama dan jadualkan masa kita secara realistik. Displinkan diri dengan membiasakan diri kita selama beberapa minit tempoh antara kuliah untuk megulangkaji nota-nota kuliah. Elakkan menangguh kerja ke saat-saat akhir dan mula belajar seawal mungkin dengan tempoh minima empat jam sehari.
2. ‘Banyaknya Nak Belajar, dan Masanya Pula Sikit.’
Bijak bertindak. Pastikan kita amalkan BTU (Baca awal, Tumpu, Ulangkaji) terhadap kuliah-kuliah kita. Buat helaian rumusan pengajian untuk semua subjek yang ada. Kerja ini boleh dipermudahkan dengan kumpulan belajar kita. Rumusan ini termasuklah nota kuliah, tutorial, pembelajaran berasaskan masalah dan kerja-kerja makmal yang perlu disaling-kaitkan. Kenalpasti topik-topik yang paling penting yang diberi penekanan oleh pensyarah dan bahagian-bahagian yang sukar difahami.
3. ‘Susahnya Subjek Ini, Saya Tak Faham Langsung!’ Bersabarlah!
Mempelajari ciptaan Tuhan yang paling tinggi sudah tentu tidak mudah. Tetapi percayalah pada pesanan saya, sebaik sahaja kita memperolehi ilmu pengetahuan, ia akan memberi kepuasan dalam hidup kita. Anggapnya sebagai suatu cabaran. Pendekatan yang baik ialah dengan berbincang dengan rakan- rakan lain dalam kelas. Kita akan rasa lega apabila diberitahu rakan-rakan lain juga mendapati subjek itu sukar. Beranikan diri buat temu janji dengan pensyarah untuk mendapatkan penjelasan bagi bahagian-bahagian yang sukar. Pensyarah sudah tentu amat suka untuk membantu. Secara peribadi saya berasa amat gembira apabila penuntut bertanya kepada saya. Satu perkara penting perlu diingati, bahawa lebih sukar sesuatu subjek itu, lebih berguna ianya untuk masa pratikal klinikal dan pengajian lanjutan lepas ijazah.
4. ‘Saya Baca, Saya Faham, Tetapi Saya Tak Boleh Ingat Langsung.’
Berbincanglah. Kita akan ingat lebih baik bagi perkara-perkara yang dibincangkan secara mendalam. Hasil penyelidikan telah menunjukkan bahawa kita ingat 70% daripada apa yang kita bincangkan. Cuba kaitkannya dengan sesuatu yang bermakna kepada kita. Semasa berbincang, cuba kaitkan topik tersebut dengan contoh-contoh sendiri. Cuba salingkait subjek dengan apa yang kita pelajari sebelum ini.
5. ‘Agak-agaknya Saya Faham.’
Jangan terlalu yakin. Uji diri sendiri dengan berbincang mengenai subjek tersebut. Bina soalan-soalan dengan rakan-rakan kita mengenai bahagian-bahagian penting dan uji sesama sendiri. Sentiasa ingat fakta yang ditekankan oleh pensyarah semasa dalam kuliah. Kaji hubungkait antara setiap topik. Cuba bina soalan-soalan peperiksaan kita sendiri untuk topik yang dibincangkan dan beri jawapan.
6. ‘Banyaknya Nak Kena Ingat.’
Susun atur maklumat kita. Maklumat lebih mudah diingati jika dipersembahkan dalam bentuk rangka kerja yang tersusun supaya maklumat boleh diperolehi semula dengan cara yang sistematik. Ada banyak teknik yang dapat membantu kita menyusun atur maklumat baru.
7. ‘Baru Sebentar Tadi Saya Ingat.’
Kaji semula. Selepas membaca satu bahagian kaji semula dan amalkan output learning iaitu mengeluarkan kembali fakta yang dipelajari. Cuba reka soalan mengenai bahagian tersebut dan jawab. Jika kita tidak boleh ingat lagi, baca semula pada tempat yang kita tidak ingat. Lebih banyak kita mengambil masa untuk belajar, lebih banyak yang boleh diingat. Walaupun kita boleh ingat kesemua fakta, kita masih perlu terus belajar kerana pembelajaran berterusan boleh menjadikan bahan yang dipelajari tidak mungkin dilupai. Dengan kata lain kita tidak mungkin terlebih belajar. Walau bagaimanapun, bagaimana kita mengatur dan menggabungkan maklumat baru amat penting daripada berapa lama kita mengambil masa untuk belajar. Bukan berapa lama kita belajar yang penting tetapi berapa banyak yang kita perolehi semasa sesi belajar itu lebih penting. Berapa banyak yang kita telah pelajari boleh dibuktikan daripada jumlah soalan yang boleh dijawab. Cuba sediakan soalan berbentuk esei dan jawab sendiri, kemudian cuba jawab soalan aneka pilihan untuk mengukuhkan apa yang telah dipelajari.
8. ‘Tapi Saya Suka Belajar Atas Katil Saya.’
Ini tidak baik. Ambil berat terhadap pelajaran kita. Membaca buku untuk pengajian tidak sama dengan membaca buku cerita. Kita mesti belajar dengan kertas dan pen di tangan dan catat atau buat rajah untuk belajar secara aktif. Kita tidak boleh belajar sambil berbaring. Lagi pun, kita boleh ingat semula lebih baik bila situasi belajar sama seperti situasi semasa ujian. Lebih mirip antara suasana belajar dengan suasana ujian, maka lebih banyak bahan yang boleh diigati semasa ujian.
9. ‘Saya Belajar Lebih Baik Pada Saat-saat Akhir.’
Ini tidak benar sama sekali. Ingatan bertambah apabila masa belajar meliputi tempoh masa yang panjang. Sudah pasti jika belajar pada saat akhir ada hormon yang boleh dirembeskan akibat tekanan yang membuat kita rasa tangkas, cergas dan bertenaga untuk belajar. Walau bagai-manapun kecergasan ini akan mengakibatkan kita mudah penat dan diserang gelabah terutama sekali apabila kita dapati terlalu banyak yang mesti dipelajari. Belajar di saat-saat akhir adalah sia-sia dan kesannya akan dirasai semasa peperiksaan. Saya pernah melihat rakan saya yang bersikap sedemikian akhirnya terpaksa mengulangi beberapa kertas dan akhirnya terpaksa mengulangi seluruh tahun akademik tersebut dan ada di antara mereka menamatkan pengajian mereka dua tahun lebih lewat daripada sepatutnya ber-banding dengan siswazah lain. Keadaan ini membuat mereka kecewa dan kurang keyakinan diri.
10. ‘Saya Akan Berjaga Sepanjang Malam Sehingga Saya Habis Belajar.’
Keadaan ini kurang produktif. Perkara yang amat penting semasa ujian ialah berfikiran cergas. Elakkan keletihan minda. Rehat sebentar berulang kali semasa mentelaah. Sebelum ujian rehatkan minda kita. Adalah amat penting kita menjaga diri kita sebelum peperiksaan. Makan betul-betul, tidur cukup dan bersenam secukupnya dan berdoalah bersungguh-sungguh. Dipetik daripada buku Bagaimana Menjadi Seorang Pelajar yang Baik dan Berjaya.
Dapatkan buku ini di http://www.assohwah.com/

INFO BUAT LEPASAN SPM

Anda boleh melayari laman web ini untuk mengetahui peluang melanjutkan pelajaran selepas SPM.

http://www.lepasanspm.com/v1/

Biar apapun keputusan yang bakal anda terima nanti…yang penting teruslah belajar dan pilih kursus berdasarkan minat dan bakat anda. Kerjaya berasaskan minat akan mencipta sesuatu yang hebat dalam hidup anda. Di sini, cikgu ingin berkongsi artikel terbaru berkaitan potensi yang sangat sesuai dibaca oleh semua peringkat umur terutama yang sedang meninjau untuk ke menara gading !

PELUANG MELANJUT PEAJARAN

Menggapai Puncak Jaya

 Oleh

Zuridah Hanim bt Md Akhir

 ____________________________________________________

Sekilas pandang tiada sesuatu yang istimewa kepada anak muda yang kini telahpun menjangkau usia 34 tahun. Berbadan gempal dan rendah,  mempunyai raut wajah yang ‘biasa-biasa sahaja’ bukanlah satu pakej buat dirinya untuk menjadi seorang yang popular apatah lagi terpaksa bersaing hebat dengan wajah-wajah kacak yang digilai ramai gadis remaja. Wajahnya  lebih sesuai melakonkan watak-watak antagonis  dalam filem-filem korea. Malah dia telah dilabel sebagai seorang ahli muzik yang gagal. Pakej diri yang ada pada dirinya membuatkan sesiapa sahaja akan yakin bahawa  dia akan gagal meletakkan diri sebaris dengan kehebatan kumpulan U-Kiss,  Super Junior atau sekacak Kim Jaejoong  serta artis K-pop lain yang menjadi kegilaan remaja seluruh dunia. Namun Park Jae-Sang atau lebih dikenali sebagai Psy telah membuktikan bahawa potensi diri, bakat serta  kreativiti merupakan harta yang tidak ternilai.  Kini, nama Psy dan “Gangnam Style” hampir dikenali oleh seluruh dunia. Video muzik “Gangnam Sytle” telah dilawati oleh 805 juta pengunjung sehingga 5 Disember 2012 mengatasi penyanyi Justin Bieber. Mempertaruhkan tarian gaya kuda ciptaannya, Psy telah berjaya mengondol Anugerah Penghargaan Kebudayaan Okgwan (Anugerah Seni Tertinggi Korea)  dan Anugerah Video Muzik Terbaik MTV-EMMA di Eropah,

 

Psy berjaya menggali sesuatu yang sangat berharga dalam dirinya iaitu POTENSI DIRI. Mungkin beliau sendiri tidak menjangka akan memperoleh kejayaan seperti yang dikecapi hari ini. Beliau hanya ingin menjadi ikon muzik di korea namun tarian kudanya telah ditarikan oleh seluruh dunia malah Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon dan Barrack Obama, Presiden Amerika Syarikat sendiri pernah menari tarian “Gangnam Style”.  Malah Ban Ki-Moon pernah mengeluarkan kenyataan bahawa di saat dunia sedang ‘panas dan bergolak’, hanya Psy sahaja yang dapat menyatukan penduduk planet ini dengan tariannya.

 

Bagaimana dengan anda ?  Adakah anda mengenali potensi diri anda  iaitu harta karun rahsia yang tertanam dalam diri. Yang pasti, potensi membolehkan manusia biasa bakal  akan mencipta kejayaan yang luar biasa. Manusia dilahirkan mempunyai kemahiran dan kepakaran yang berbeza. Jangan biarkan potensi diri terkurung dalam minda yang terjajah.  Potensi perlu dicari, digali,  disiram, dibaja, digilap, dikembangkan dan ditunjukkan kepada orang lain supaya kehebatan dan bakat yang diperoleh akan memberi  nilai tambah kepada diri. Apatah lagi remaja hari ini perlu bersaing hebat di pasaran kerja. Kemahiran ‘memasarkan diri’ perlu dikuasai supaya setiap diri kita mempunyai kelebihan yang mungkin tidak dimiliki oleh orang lain.

Apakah sebenarnya potensi ?  Potensi ialah bakat atau kecenderungan yang ada pada individu yang membolehkan seseorang itu berupaya melakukan sesuatu yang terbaik berdasarkan kemahiran yang dimilikinya. Potensi merupakan tenaga  kekuatan jiwa,  roh, nyawa dan minda seseorang yang dapat mengukur tahap kekuatan dan kelemahan diri yang dimiliki tanpa diketahui orang lain. Malah para motivator sering menjadikan potensi diri sebagai modal untuk membangkitkan motivasi para peserta kerana mengenali potensi dan bakat yang ada membolehkan seseorang individu itu mampu membuat perubahan yang besar dalam hidupnya. Apabila potensi dapat dikenalpasti, seseorang remaja itu dapat mengatur strategi masa hadapannya dengan  membuat perubahan diri  dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mencapai  apa yang dicita-citakan.

 

Mengenali potensi diri bermakna kita mengenali bakat yang ada dalam diri. Setiap insan yang dilahirkan dikurniakan bakat yang berbeza-beza. Perbezaan ini membolehkan kita menjalani kehidupan secara saling melengkapi antara satu dengan yang lain. Bekerja sebagai chef untuk menyediakan hidangan yang lazat untuk dinikmati, menjadi penulis untuk merakamkan peristiwa dan menyampaikan maklumat, menjadi guru untuk mendidik, menjadi usahawan untuk menawarkan  barangan dan perkhidmatan kepada orang lain atau eksekutif pengurusan yang berjaya memerlukan kemahiran dan bakat supaya pekerjaan yang dilakukan bukan sekadar untuk menyara hidup tetapi mampu mempamerkan kecemerlangan  diri kita yang sebenar. Bekerja menggunakan bakat sebenar akan melahirkan keseronokan bekerja, meningkatkan motivasi dan prestasi, mengurangkan stress dan yang pasti akan mencipta kejayaan yang luar biasa dalam profesion yang kita ceburi, umpama pepatah arab yang menyebut sesiapa yang bersungguh-sungguh, maka dia akan berjaya. Membina profesion berasaskan  bakat bukan sahaja mampu membentuk individu yang cemerlang, malah mampu mengasah potensi modal insan dalam bidang kepakaran masing-masing untuk memajukan Negara.

UNTUK BACAAN LANJUT DAPATKAN DEWAN SISWA KELUARAN JANUARI 2012…..

D.SISWA JANUARI 2013

Cara belajar yang betul

Azam perlu seiring dengan strategi dan teknik untuk mencapai matlamat yang disasarkan

Pelajar yang mengamalkan cara belajar yang betul akan lebih mudah mencapai kejayaan berbanding dengan pelajar yang belajar tanpa mengikut tatacara yang bersistem. Berikut ini disenaraikan dua puluh kaedah belajar yang berkesan untuk membantu pelajar berhadapan dunia peperiksaan.

Pertama  – Tidak mensia-siakan biar pun seminit

Seorang pelajar yang cemerlang menggunakan masa yang teruang, masa pertukaran kelas, masa menunggu kereta sewa, masa sebelum hidangan makanan.  Mereka boleh membaca satu atau dua soalan objektif atau ulangkaji pelajaran yang telah mereka baca.

Kedua  – Membawa buku ke mana sahaja mereka pergi

Amalkan sikap membawa buku setiap ketika.  Sikap ini bukan bermaksud kita mesti membaca buku tersebut.  Kemungkinan diri anda tidak membaca apa-apa , tetapi ia memupuk jiwa bersungguh-sungguh dengan kewajipan terhadap pelajaran.  Sikap ini membolehkan anda menyemai budaya belajar yang positif dan sikap bertanggungjawab terhadap pelajaran.

412706_182143015244443_450145778_o

Ketiga  – Gunakan masa awal pagi

Gunakan sepenuhnya masa awal pagi untuk mengulangkaji pelajaran yang anda lemah. Pupukan semangat belajar pada awal pagi biar pun anda tidak terasa mahu membaca.  Usaha ini akan menyemai semangat yang kental terhadap pelajaran dan membolehkan anda mulakan hari tersebut dengan azam untuk berjaya.

Keempat  – Buat nota ringkas

Pelajar yang cemerlang sentiasa membuat nota ringkas.  Nota tersebut adalah untuk membolehkan anda merujuk kembali apa yang telah anda baca.  Ia tidak menjamin ingatan anda tetapi ia meningkatkan kuasa ingatan anda.  Dengan adanya nota ringkas, ulangkaji sehari sebelum peperiksaan menjadi lebih mudah.

Kelima  – Mengikut jadual sepenuhnya

Aturkan masa untuk setiap aktiviti yang anda hendak lakukan pada hari tersebut.  Patuhi jadual belajar anda tanpa syarat.  Jangan ikut perasaan.  Biar pun anda tidak suka belajar pada sesuatu masa, buka sahaj buku dan membacanya.  Jika anda mempunyai disiplin yang kuat terhadap hidup, anda tidak akan lalai terhadap tanggung-jawab belajar.  Pastikan anda peruntukkan masa untuk setiap mata pelajaran pada setiap hari jika anda mahu mencapai kegemilangan dalam semua mata pelajaran.

Keenam  – Mencuba soalan tahun lalu

Pelajar cemerlang memperuntukkan masa untuk menjawa contoh soalan setiap hari.  Ini akan membiasakan dirinya dengan corak soalan yang sering keluar dalam peperiksaan dan bagaimana menjawabnya. Pelajar yang hanya begitu kepada buku teks tidak akan lulus dengan cemerlang kerana mereka tidak biasa dengan corak soalan peperiksaan.

Ketujuh – Ulang sebanyak kali yang boleh

Setiap fakta yang dibaca akan terus diulang sebanyak yang mampu.  Tidak ada had ulangan yang akn dilakukan, Selagi ada masa, anda boleh mengulangi apa yang telah dibaca biar pun anda sudah faham atau sudah mengingatinya.  Semakin banyak anda membaca, semakin tinggi keyakinan diri anda untuk lulus dengan cemerlang.

bulan membaca 1 027

Kelapan  – Sentiasa menanya kalau tidak faham

Dekatkan diri dengan guru dan guna setiap kesempatan yang ada untuk menjawab kemusykilan anda.  Biar pun anda sudah faham , anda masih boleh menanya.  Ini akan menguatkan kefahaman dan ingatan anda.  Anggapkan guru anda, kakak atau abang anda, kawan-kawan anda sebagai orang yang boleh membantu anda dalam hal ini.

Kesembilan : Berikan penumpuan pada pelajaran yang lemah

Jika anda lemah dalam bahasa Inggeris atau matematik, peruntukkan masa yang lebih untuk ulangkaji.  Elakkan memilih mata pelajaran yang disukai dan abaikan mata pelajaran yang anda kurang suka. Buat tanda pada bahagian yang anda rasa perlu penumpuan lebih. Gunakan simbol dan lorekkan bahagian yang anda anggap penting. Jangan jadikan tidak faham, tidak ingat atau  tidak pandai sebagai alasan untuk berhenti ulangkaji.

Ke sepuluh : Mengunjungi perpustakaan

Rapatkan dengan kawan yang mahu belajar.  Perhatikan bagaimana mereka belajar dan semarakkan jiwa yang kuat seperti mereka.  Tukar pendapat antara satu sama lain.  Berikan penemuan dan berkongsi soalan yang anda buat dengan mereka. Ini akan mengaktifan suasana tolong menolong dalam haluan memajukan pelajaran masing-masing.

20121029_122621

Ke sebelas : Menjadi model dalam rumah

Jadikan diri anda sebagai contoh kepada adik-adik lain.  Beritahu mereka “Jangan membuang masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak menyumbang kepada masa depan.” Semakin anda memberi galakan untuk mereka , semakin tinggi semangat anda untuk menjadi contoh kepada mereka.  Apa yang anda serukan akan menjadi panduan dalam hidup anda sendiri.

Ke dua belas : Imbangkan masa kokorikulum dan akademik

Jika anda berada dalam tahun peperiksaan , jangan terlalu menumpukan perhatian pada kokorikulum kerana ini akan melalaikan diri dalam bidang akademik.  Jika anda mahu berjaya dalam akademik, anda perlu mempunyai masa ulangkaji yang cukup di rumah.  Masa ulangkaji untuk SPM ialah dalam lingkungan 5 jam ke  6 jam sehari. Jika masa minima tersebut tidak dipenuhi, anda mungkin perlu berjaga malam atau bangun pagi.

Ke tiga belas : Belajar mengikut rentak sendiri

Jangan membandingkan diri dengan pelajar yang mantap dalam prestasi peperiksaan.  Anda perlu mebgenal rentak sendiri dan pastikan anda mematuhi rentak tersebut.  Jika anda seorang pelupa, pastikan anda mengatur masa ulangkaji kedua atau ketiga pada minggu-minggu yang akan datang.  Jika anda perlukan bimbingan tambahan , dapatkan tuisyen.

Ke empat belas : Persiapan minda sebelum ulangkaji

Lelapkan mata untuk beberapa minit dan wawasankan hidup anda kelak.  Apa yang anda hendak capai.  Apakah corak hidup yang anda hajatkan.  Apakah yang hendak anda berikan kepada ahli keluarga serta ibu bapa anda sebagai tanda kasih sayang dan terima kasih.  Adakah anda berhajat hendak mengharumkan nama keluarga dan negara anda ? Apakah kejayaan peringkat remaja yang membanggakan diri anda dan keluarga anda?  Bila anda membaca buku, kaitkan dengan hidup anda.  Anda bukan sekadar mahu lulus cemerlang dalam peperiksaan , anda mahukan hidup yang baik dan berkualiti.

Ke lima belas : Elakkan gangguan emosi

Semua perkara yang merunsingkan dan mengganggu konsentrasi waktu belajar perlu diketepikan.  Beritahu diri anda , “saya tidak relakan masa depan saya tergadai oleh okr yang remeh-temeh ini.” Sebaik pemikiran atau perasaan negatif timbul, tuliskan pada kertas .  Layankan semua gangguan ini selepas peperiksaan.  Anda boleh gunakan musik latar yang lembut untuk menjadikan suasana belajar lebih menyelerakan (jika sesuai).407092_306265532767656_1744382671_n

Ke enam belas : Kurangkan kerja rumah tangga

Jika anda pada tahun peperiksaan , maklumkan hajat anda untuk berjaya  dan minta adik-adik anda menolong anda dalam beberapa aspek kerja rumah tangga.  Amalkan sikap tolong menolong dalam keluarga.  Bila masanya mereka yang menduduki peperiksaan SPM, sama-sama menolong dirinya.  Budaya berkongsi beban kerja rumah tangga seperti mencuci kasut, menyapu lantai dan lain-lain akan memberi lebih masa untuk anda belajar.

Ke tujuh belas : Rancangkan jadual ulangkaji setahun

Tetapkan ulangkaji anda sehingga bulan September.  Sebulan sebelum peperiksaan , anda perlu siap ulangkaji. Pastikan setiap mukasurat dibaca, dan setiap soalan dijawab.  Ini boleh dilakukan dengan membahagikan bilangan mukasurat buku dengan bilangan hari yang ada. Jika  anda gagal mengulangkaji mukasurat berkenaan pada hari yang ditetapkanm pangkahkan dengan besar menggunakan pensil.  Pastikan anda membaca mukasurat ini sebelum peperiksaan tiba.  Tapi, sebelum anda membaca mukasurat yang terhutang, pastikan anda telah siap ulangkaji mukasurat yang ditetapkan untuk hari tersebut.

Ke lapan belas : Belajar menyesuaikan diri dengan semua keadaan

Biar pun rumah anda bising, panas atau kurang selesa; ia tidak menjadi penghalang untuk anda mengulangkaji.  Kadang-kadang , kita perlu belajar menyesuikan diri dengan kekurangan yang ada.  Semakin mencabar keadaan anda , semakin besar ujian ketahanan diri anda.  Beritahu diri anda , “biar apa yang berlaku, saya tetap dapat menjalankan tugas saya kerana saya seorang yang tahan lasak.”

Ke sembilan belas : Berhati-hati dengan kawan yang tidak sehaluan dengan anda

Jika anda mahu belajar tetapi rakan-rakan anda tidak suka belajar.  Mereka cuba mempengaruhi anda dengan seribu satu jenis kegiatan yang hanya membuangkan masa anda.  Berani berkata “tidak” dan menolak mereka dengan lembut.  Jangan sekali-kali menjadi mangsa kepada mereka kononnya anda tidak mahu melukakan hati mereka.  Jika anda mengikut rentak mereka, anda akan melukakan masa depan sendiri.

Ke dua puluh : Terus belajar biar pun tidak menampakkan kemajuan

Jangan mengukur prestasi anda kerana tidak menampakkan kemajuan yang nyata dalam keputusan peperiksaan sekolah.  Setelah berbulan-bulan anda bertungkus-lumus, anda mungkin mahu kemajuan dalam keputusan sekolah.  Sebenarnya, penilaian sekolah tidak menggambarkan anda pasti akan lulus atau gagal dalam peperiksaan akhir tahun. Teruskan usaha dan jangan berhenti.

Ke dua puluh satu : Terokai bakat dan minat anda

Sambil anda berjuang untuk peperiksaan SPM, peruntukkan masa juga untuk bidang yang anda hendak ceburi.  Mungkin anda minat dengan bidang kedoktoran, baca majalah dan bahan rujukan am yang berkaitan dengan cita-cita anda tersebut.  Gunakan bakat anda untuk berbakti kepada keluarga atau sekolah anda.  Jika anda minat dalam bidang kejuruteraan, peruntukkan masa untuk belajar membaiki kereta atau anda juga boleh menolong kawan anda membaiki kereta mereka.  Kegiatan sedemikian menjadikan makna pembelajaran lebih nyata.  Anda tahu mengapa anda belajar kerana anda mempunyai hala tujuan yang nyata.

Kesimpulan

Belajar adalah suatu seni.  Jika anda tahu menguasai seni tersebut , anda boleh berjaya biar pun diri anda mempunyai beberapa kekurangan.  Semoga lembaran ini menguatkan ikhtizam anda untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam pelajaran.

_____________________________________________________________________

http://www.sabah.net.my/…/CARA%20BELAJAR%20BETUL

AYUH BERCUTILAH DENGAN PENUH BERMAKNA

AYUH ! BERCUTILAH  DENGAN PENUH BERMAKNA

 Oleh

Zuridah Hanim bt Md Akhir

__________________________________________________________________

CUTI ? Inilah saat dan ketika yang cukup dinanti. Cuti sekolah bakal tiba lagi. Sudah tentu saat ini pasti ditunggu-tunggu.  Malah sudah ada yang menghitung hari  sambil memikirkan aktiviti yang perlu diisi sepanjang cuti persekolahan. Tempoh cuti sekolah hujung tahun yang panjang membuatkan wajah teruja menyenaraikan tempat-tempat percutian yang bakal dilawati.  Tidak perlu bangun awal untuk menunggu bas ke sekolah, tidak dibebani kerja-kerja sekolah, tidak perlu berada di sekolah hingga petang untuk aktiviti kokurikulum dan yang penting tidak perlu rasa risau memerah otak memahami apa yang diajar oleh guru. Cuti sekolah sememangnya saat yang cukup bermakna.

Namun begitu, sejauh manakah  bermaknanya cuti yang selama ini kita tunggu-tunggu. Dalam senario kehidupan kita hari ini, kata-kata hikmat masa itu adalah emas sudah tidak sesuai lagi untuk digunakan. Emas, walaupun mahal dan berharga masih mampu  dibeli dengan wang terutama bagi mereka yang berpendapatan tinggi. Seorang tokoh agama, Syahid Hassan Al Banna pernah menyatakan bahawa masa itu adalah kehidupan. Kehidupan yang berlalu tidak boleh diperoleh semula dengan apa cara sekalipun. Ayat al- quran, Surah al Asr  ada menyatakan “Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan serta saling berpesan (menasihati) untuk kebenaran dan menasihati dengan kesabaran”  Hari ini perlu lebih baik dari semalam. Setiap saat dan ketika perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana apa yang kita lakukan hari ini bakal membentuk ‘rupa’ kita pada masa hadapan. Remaja merupakan ‘harta Negara” yang cukup bernilai. Iman Al- Ghazali pernah menyatakan “jika ingin melihat Negara pada masa hadapan, lihatlah remaja pada hari ini”. Oleh itu, perancangan waktu sepanjang cuti persekolahan tidak wajar dipandang ringan.

Sediakan ‘cheklist ‘ harian sepanjang cuti

1. Jadual Rancangan Cuti

a. sediakan sehelai kertas kecil/nota untuk perancangan harian. senaraikan apa yang ingin dilakukan secara harian.

contoh:  20/11/2012

  • Kemas bilik
  • ulangkaji sains
  • Gunting rambut
  • latih tubi matematik
  • membaca al-quran
  • menonton wayang bersama keluarga

b. selepas itu, gredkan seperti (1)sangat penting, (2)penting, (3)Tidak penting. Sekiranya sesuatu itu sangat penting perlulah disegerakan  dan tidak bertangguh.

contoh: 20/11/2012

  • Kemas bilik (2)
  • ulangkaji sains (1)
  • Gunting rambut (2)
  • latih tubi matematik(2)
  • Membaca al-quran (1)
  • menonton wayang bersama keluarga (3)

Tandakan (/) pada aktiviti yang sudah dilakukan (untuk aktiviti yang  tidak dapat lakukan, buatlah perkara itu pada keesokan harinya).

2. Tele Vision (TV) atau Vision Tele (VT)

Apabila cuti sekolah bermula, sudah tentu banyak rancangan-rancangan menarik.. Tidak kurang juga rangkaian-rangkaian seperti ASTRO, TV3 & RTM dan pelbagai lagi memberi hiburan yang istimewa sepanjang cuti sekolah ini. jadi kita perlu tahu membezakan TeleVision (TV) dengan VisionTele (VT) semasa cuti sekolah.

Sekiranya sekadar untuk menghilangkan bosan dan mengambil masa yang sedikit sahaja menonton TV sudah pasti kita akan jadikan TV itu bukan visi kita semasa cuti sekolah.  Tetapi sekiranya pagi-petang-malam hanya duduk mengadap TV saja dan tidak melakukan perkara yang berfaedah dan manfaat, maka jadikan television itu sebagai Visi semasa cuti sekolah (Vision tele). Elakkan perkara ini daripada berlaku.

3. Motivasi luaran dan program motivasi

Semasa cuti sekolah bermula tentu banyak program-program motivasi yang akan di anjurkan untuk mengisi masa harian pelajar-pelajar. Bagi yang mempunyai ibu-bapa yang berkemampuan, mintalah keizinan mereka untuk menyertai mana-mana kursus/seminar/program motivasi bagi meningkatkan lagi daya motivasi luaran semasa cuti sekolah. Bagi yang tidak berkemampuan untuk hadiri kursus/seminar/program sebegini, jangan merasakan diri anda tidak bermotivasi kerana anda mampu mendapat motivasi luaran ini sekirannya berkawan dengan orang yang bermotivasi dan inginkan motivasi.

4. Cuti-cuti Malaysia

Banyak tempat-tempat menarik yang  boleh dikunjungi. Sekiranya tidak mampu pilihlah destinasi yang tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi seperti berkelah bersama keluarga, melawat muzium dan tempat-tempat bersejarah atau melawat saudara mara bagi mengeratkan silatulrahim. Yang penting rancanglah dengan teliti. Bercuti tidak bermakna tidor di hotel dan bersukaria di taman tema sahaja.. bumi Allah sangat luas dan masih banyak tempat yang boleh diterokai.

5. Terlibat secara aktif dalam majlis kenduri kendara.

Inilah masa yang paling tepat untuk anda membantu saudara mara yang akan mengadakan majlis kenduri. Aktiviti sebegini bukan sahaja membolehkan anda mengenali sahabat handai dan kaum keluarga dengan lebih ramai tetapi dapat mengutip ilmu pengurusan. Bukan senang untuk menguruskan satu majlis dengan lancar !

6. Program Cuti Sekolah Peringkat Keluarga

Rancanglah bersama adik-beradik serta ibu bapa anda beberapa program khas untuk meningkatkan keceriaan rumah. Antaranya program kitar semula, program 5S, gotong royong keluarga, program hijaukan halaman rumah dan macam-macam lagi…Biarpun nampak agak pelik tetapi percayalah ia tentu sangat menyeronokkan…CONTOH PROGRAM CUTI SEKOLAH boleh dibaca menerusi Dewan PELAJAR  November 2012- ruangan KISAH BULAN INI  ….selamat mencuba…

7. Satu hari Satu Resepi

Memasak merupakan kemahiran yang wajib dikuasai tidak kira lelaki atau perempuan. Selagi hidup, manusia akan terus makan. Cuba belajar satu resepi setiap hari. Hidanglah kepada keluarga dengan penuh bergaya.. tentu ibu tercinta akan berasa bangga..kemahiran ini sangat pening terutama bagi mereka yang bakal keluar melanjutkan pelajaran..masak sendiri lebih jimat, sihat dan adakalanya lebih menyelerakan kerana dibuat mengikut citarasa sendiri.

8. Projek Usahawan

Bercuti membolehkan anda mencari duit poket. Contohnya berniaga kacang atau aiskrim malaysia di taman permainan kawasan perubahan, mengambil upah membersihkan halaman jiran, mengambil upah menaip, berniaga barangan terpakai menerusi internet,  bekerja sambilan dengan syarikat katering atau menerima tempahan resepi baru anda….banyak ilmu yang anda pelajari dan yang paling penting dapat memupuk ciri-ciri keusahawanan dalam diri. Tapi ingat ! projek hanya dijalankan pada waktu cuti sahaja.

9. Menghadiri seminar teknik menjawab

Inilah peluang terbaik kepada bakal pelajar PMR dan SPM. Isilah masa terluang dengan membuat ulangkaji mata pelajaran yang lalu supaya setiap detik anda ada pengisian ilmu. Hal ini sangat penting supaya anda benar-benar bersedia dari aspek mental untuk menenpuh peperiksaan yang besar dalam hidup anda.

10. Membaca 1 minggu 1 buku

Alasan sibuk sering diberi sekiranya disuruh menbaca. Kini tiada lagi bebanan aktiviti persekolahan yang banyak.. jadilah insan yang berilmu dengan membaca..tidakkah membaca itu umpama anda meneroka dunia baru . Berilah peluang minda anda menikmati vitamin yang berkhasiat.

11. Tingkatkan amal ibadat dan banyakkkan perkara sunat.

Bermulalah dari sekarang untuk melakukan perkara-perkara yang terhalang disebabkan kesibukan duniawi. Allah sentiasa menyayangi kita dengan memberi nikmat kehidupan yang tidak terhingga tetapi kita jarang bersyukur dan mendekatiNYA. Mulakan  amalan membaca al-quran setiap kali lepas solat , amalan solat rawatib, solat malam, solat duha, membaca al-mathurat dan berpuasa isnin khamis. Insyaalah sekiranya amalan ini dilaksanakan secara istiqamah selama 40 hari berturut-turut, ia akan menjadi tabiat baik amalan harian.