JADILAH PENGGUNA BIJAK

WAHAI  REMAJA : JADILAH PENGGUNA YANG BIJAK !

 Oleh

Zuridah Hanim bt Md Akhir

(SEPERTI YANG DISIARKAN DALAM  DEWAN SISWA DISEMBER 2012)

Data yang mengejutkan !  Dapatan ini  perlu direnung bersama buat remaja.  Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia mendedahkan, setiap hari 41 orang pekerja muda diisytiharkan muflis. 50% daripada mereka yang mendapatkan bantuan kewangan dan kaunseling adalah di bawah umur 35 tahun. Lebih daripada 60% pekerja muda terlebih hutang. Lebih mengejutkan, 77 % pengguna beranggapan bahawa keupayaan mereka menguruskan kewangan adalah lemah. 72% pengguna tidak mempunyai pelan persaraan. Persoalannya, mengapakah data-data ini perlu didedahkan? Apa signifikannya kepada remaja?  Apakah kolerasi  antara kewangan, pengguna dan pekerja muda? Yang paling penting siapakah sebenarnya pengguna dan apakah peranan remaja ?

Senario yang berlaku hari ini jelas membuktikan bahawa pengetahuan berkaitan Pendidikan Pengguna dalam kalangan golongan muda hari ini adalah sangat cetek. Persoalan-persoalan yang diutarakan sebenarnya jarang sekali dibincangkan di peringkat sekolah dan  institusi pengajian tinggi apatah lagi dalam perbualan harian kita setiap hari. Malah, ilmu kepenggunaan tidak diajar secara langsung di sekolah-sekolah kecuali menerusi Kelab Pengguna  Sekolah yang ada kalanya umpama  “hidup segan mati tak mahu”.   Persoalan berkaitan kepenggunaan biasanya dibincangkan secara tidak langsung di dalam kelas-kelas berorientasikan peperiksaan dan jarang sekali diskusi yang lebih mendalam dibuat untuk memperlihatkan impak besar peranannya dalam kehidupan kita pada masa hadapan.  Tahap pengetahuan berkaitan Pendidikan Pengguna yang cetek inilah menyebabkan para remaja yang setahun jagung memulakan langkah ke alam dewasa, berjaya memperoleh segulung ijazah namun gagal menjadi pengguna yang bijak terutama dalam aspek pengurusan kewangan.

Siapakah sebenarnya pengguna ? Mengikut Akta Perlindungan Penggguna 1999, pengguna ditakrifkan sebagai orang perseorangan yang terlibat dengan pembelian barangan dan perkhidmatan untuk tujuan kegunaan sendiri.  Akta ini tidak terlibat sekiranya barangan yang dibeli adalah untuk tujuan perniagaan.  Mantan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato` Seri Dr. Mahathir b. Mohamed, semasa majlis Perasmian Hari Pengguna Sedunia 1992 telah memberi takrifan yang tepat dan  telah diguna pakai sehingga kini berkaitan siapa sebenarnya pengguna. Menurut beliau, semua rakyat Malaysia tanpa mengira kedudukan dan umur, bangsa dan agama adalah pengguna. Setiap insan adalah pengguna yang menjadi asas segala kegiatan ekonomi dan  memerlukan barangan, perkhidmatan atau kurniaan alam semulajadi. Dalam hal ini, para remaja tidaklah terkecuali.  Jiwa remaja yang “berdarah muda”,  perasaan ingin mencuba yang tinggi, sentiasa mahukan sesuatu yang terkini, tidak mahu dikatakan tidak mengikut tren atau ketinggalan zaman dan sentiasa ingin kelihatan ‘hebat’ berbanding rakan sebaya menyebabkan pengeluar seringkali menjadikan remaja sebagai golongan sasaran utama untuk  meraih keuntungan.

Sehubungan itu,  menjadi remaja yang cemerlang dan berwawasan tidak lengkap pakejnya sekiranya gagal menjadi pengguna yang bijak. Hal ini kerana ilmu kepenggunaan akan mempengaruhi corak keseluruhan  hidup  kita bermula daripada asas memilih barangan dan perkhidmatan untuk kegunaan harian, kemahiran membuat keputusan kewangan, amalan gaya hidup dan pengetahuan mengenai hak-hak selaku pengguna. Ilmu kepenggunaan ini membolehkan seseorang membuat pilihan yang terbaik bagi dirinya menggunakan sumber yang terhad. Tanpa pengetahuan ilmu asas kepenggunaan,  kita mungkin berbelanja sesuka hati dan membuat pembelian barangan yang sebenarnya tidak diperlukan. Walaupun mampu dari segi ekonomi , pembelian tersebut merupakan satu pembaziran. Wang yang dibelanjakan boleh disimpan untuk tujuan pendidikan ataupun kecemasan. Remaja seharusnya sedar betapa pentingnya Pendidikan Pengguna agar kita menjadi pengguna yang bijak.

Dalam membincangkan topik kepenggunaan, istilah konsumerisme tidak wajar ditinggalkan. Konsumerisme bermaksud segala kegiatan yang dilakukan bertujuan untuk menjaga hak kita selaku pengguna. Sehubungan itu, untuk menjadi pengguna yang bijak, remaja haruslah tahu hak-hak yang diberikan supaya mendapat barangan dan perkhidmatan yang berkualiti dan tidak dieksplotasi oleh pengeluar atau penjual.  Kerajaan  telah membentuk  lapan hak pengguna  yang berbentuk peraturan untuk melindungi hak serta  kepentingan pengguna iaitu :-

  1. Hak untuk mendapat  keperluan asas.
  2. Hak untuk mendapat  keselamatan
  3. Hak untuk mendapat  maklumat
  4. Hak untuk membuat   pilihan
  5. Hak untuk mendapat ganti rugi
  6. Hak untuk menyuarakan pendapat
  7. Hak untuk mendapat  pendidikan kepenggunaan
  8. Hak untuk mendapat alam sekitar yang sihat.

Remaja perlu mengetahui hak untuk mendapat keperluan asas biarpun aspek ini biasanya disediakan oleh ibu bapa  kita. Hak untuk mendapat keperluan asas bermaksud pengguna berhak untuk mendapat keperluan asas bagi meneruskan kehidupan yang memuaskan seperti makanan, pakaian, tempat kediaman, kesihatan, pendidikan, kemudahan awam, air dan sanitasi. Dalam aspek makanan, bekalan yang diterima perlu berterusan, harganya berpatutan, berkualiti dan berkhasiat.  Timbangan dan sukatan yang dibuat adalah bertepatan serta info pemakanan yang diberi adalah tepat dan betul. Pengguna beragama Islam pula berhak mendapat info mengenai status halal yang diluluskan oleh JAKIM.  Remaja sangat sinonim dengan perubahan fesyen dan pakaian. Menerusi hak ini, pastikan pakaian yang dibeli berkualiti dan setara dengan wang yang dibelanjakan. Info pada label pakaian perlu disediakan supaya pengguna menjaga pakaian mengikut cara yang betul. Pengguna juga berhak mendapat tempat tinggal yang selamat seperti yang termaktub dalam Akta Pemaju Perumahan 1966 dan Aka Kontrak 1950.

Pengguna berhak dilindungi daripada barangan dan perkhidmatan yang membahayakan kesihatan dan keselamatan seperti ubat-ubatan, bahan kimia, racun serangga dan peralatan elektronik.  Penggunaan ubat-ubatan perlulah mengikut nasihat pegawai kesihatan terlebih dahulu dan diambil mengikut dos yang ditetapkan. Sekiranya mempunyai kesan sampingan, aduan boleh dibuat mengikut Akta Ubat 1956 atau Akta Pendaftaran Farmasi 1951. Setiap barangan yang dibeli perlu dibaca labelnya terlebih dahulu terutama yang melibatkan penggunaan bahan kimia dan racun serangga. Bagi barangan elektrik pilihlah yang mempunyai kelulusan SIRIM,  mempunyai kad waranti, menjimatkan tenaga dan bersifat mesra alam.

Sebelum membuat keputusan membeli, pengguna berhak mendapatkan maklumat dan fakta yang betul bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang tepat. Aspek hak untuk mendapatkan maklumat ini perlu dikuasai remaja memandangkan remaja mudah terpengaruh dengan iklan terutama barangan baru dan berjenama di pasaran. Jangan mudah terpengaruh dengan gimik promosi dan iklan yang mengelirukan. Dapatkan maklumat yang lengkap dan tepat menerusi label ataupun sebarang penerangan  berkaitan harga barangan,  jaminan mutu, berat dan sukatan, isi kandungan barangan dan cara penggunaan. Hak ini mampu melindungi pengguna khasnya para remaja daripada penipuan akibat amalan perniagaan yang tidak beretika.

Pengguna berhak membuat pilihan untuk memilih barangan terbaik yang ditawarkan oleh peniaga. Sebelum membeli, pengguna perlu memastikan harga barangan berpatutan, barangan dalam keadaan baik, selamat dan menepati contoh yang diberi atau diiklankan. Hak untuk memilih penting supaya pembelian tidak dibuat secara terburu-buru dan pembelian yang dibuat adalah pembelian yang tepat. Penjual tidak berhak memaksa dan membuat keputusan bagi pihak pengguna. Dalam hal ini, para remaja disarankan untuk menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia. Barangan Buatan Malaysia bukan sahaja murah tetapi mutunya setanding dengan barangan berjenama. Kegilaan barangan berjenama dalam kalangan remaja perlu diatasi kerana fenomena ini akan memberi kesan kepada ekonomi Negara dalam jangka panjang.

Remaja berhak menyuarakan pendapat bagi memastikan kepentingan selaku pengguna mendapat pertimbangan sewajarnya dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar kerajaan serta dalam pembangunan barangan dan perkhidmatan. Dalam hal ini, pendapat anda boleh disuarakan melalui badan atau pergerakan penguna contohnya Persatuan Penguna di peringkat negeri masing-masing,  Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional atau menerusi siaran langsung rancangan Kuasa Komuniti Konsumer di Radio Bernama 24 pada  jam 3.15 petang. Melalui pergerakan pengguna ini, segala aduan dan rasa tidak puas hati pengguna dapat disalurkan kepada pihak yang bertanggungjawab bagi menjamin hak dan kepentingan pengguna.

Di samping itu, sebarang pembelian barangan dan perkhidmatan yang mengelirukan, kurang bermutu, tidak memuaskan dan tidak memenuhi spesifikasi yang diiklankan membolehkan pengguna mendapat ganti rugi sebagai penyelesaian yang adil. Pengguna boleh menuntut ganti rugi dalam bentuk wang atau penggantian barang yang dikembalikan. Contohnya jika seorang pelajar membeli sebuku roti di kantin sekolah yang telah tamat tempohnya,  pelajar tersebut berhak mendapat ganti rugi roti yang baru tanpa perlu membuat penambahan harga atau pengembalian wang. Pengguna berhak mendapatkan ganti rugi atas sebab yang berikut :

  1. Barangan yang dibeli tidak berada dalam keadaan baik contohnya tin kemik.
  2. Barangan yang dibeli mengandungi bahan asing yang boleh membahayakan kesihatan
  3. Mutu barangan tidak seperti yang diiklankan
  4. Barangan yang dibeli memudaratkan pengguna

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, setiap remaja di Malaysia berhak mendapat pendidikan dan kemahiran bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang bijak  dan rasional dalam pembelian barangan dan perkhidmatan serta mengamalkan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna. Pengetahuan mengenai hak-hak dan tanggungjawab pengguna boleh mengelakkan pengguna daripada ditipu oleh peniaga yang tidak beretika.  Para remaja boleh mendapatkan ilmu kepenggunaan melalui

  1.  Pendidikan formal di sekolah dan institusi pengajian tinggi.
  2. Pendidikan tidak formal di rumah melalui ibu bapa dan masyarakat sekeliling.
  3. Melalui risalah dan akhbar yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengguna seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
  4.  Menghadiri bengkel, seminar dan ceramah berkaitan kepenggunaan
  5.  Menerusi carian maklumat di laman sesawang dan blog berkaitan kepenggunaan.

Kita juga berhak hidup dan tinggal dalam alam sekitar yang bersih, sihat dan tidak membahayakan kita serta generasi akan datang. Dalam hal ini, penjagaan alam sekitar menerusi kempen penghijauan bumi perlu diberi perhatian agar pencemaran alam dapat dikawal. Pepatah India ada mengatakan bahawa kita tidak mewarisi bumi dari nenek moyang kita melainkan meminjamnya dari anak-anak  kita. Justeru telah menjadi tanggungjawab besar kita hari ini memelihara alam sekitar buat generasi akan datang. Bagi menjayakan hasrat ini, para remaja bolehkan berganding bahu melakukan aktiviti-aktiviti berikut:

  1. Mengadakan aktiviti kitar  semula.
  2. Meningkatkan penanaman pokok   di halaman rumah.
  3. Menggunakan kenderaan awam   atau mengamalkan berkongsi kenderaan
  4. Mengurangkan penggunaan   alatan elektrik yang melepaskan CFC contohnya penghawa dingin.
  5. Pilhlah produk yang mesra  alam
  6. Kurangkan penggunaan beg  plastik. Gunalah beg kitar semula yang lebih menjimatkan !
  7. Kurangkan penggunaan kertas

Ayuh !  Jadilah pengguna bijak.  Sehubungan itu, terdapat empat teras yang perlu diamalkan oleh  remaja untuk menjadi pengguna bijak iaitu  membeli barangan berkualiti, membuat perbandingan harga,  memilih perkhidmatan terbaik dan membuat pilihan yang tepat.  Pengguna yang bijak juga mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

  1. Kesedaran untuk mengkritik   jika berlaku sebarang penyalahgunaan dan penyelewengan terhadap hak-hak      pengguna.
  2. Terlibat dan  mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak-hak pengguna   dilayani dengan adil.
  3. Bertindak dengan  penuh tanggungjawab supaya tindakan yang diambil tidak menimbulkan  sebarang kesulitan yang lebih besar.
  4. Bersatu dan bekerjasama dalam tindakan agar kepentingan tidak mudah digugat.

Sesuatu yang jauh bermula dengan langkah pertama. Sebagai langkah permulaan untuk menjadi pengguna yang bijak, para remaja disarankan untuk menyertai pertubuhan pengguna  mengikut kesesuaian umur.   Antaranya

  1. Kelab Pengguna Sekolah yang berfungsi sebagai nadi  penggerak pendidikan kepenggunaan di peringkat sekolah menengah.   Penglibatan aktiviti  murid memberi    fokus kepada aspek perbelanjaan berhemah, pemakanan seimbang dan  pemeliharaan alam sekitar. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah  ceramah kepenggunaan, pameran kepenggunaan, demonstrasi, Lawatan Sambil Belajar, Projek Kitar Semula, Kem Kelab Pengguna Sekolah, Pertandingan Sudut Pengguna, Kuiz dan Cabaran Interaktif Pengguna
  2. Gerakan Pengguna Siswa yang dianggotai oleh  pelajar-pelajar IPT yang berkongsi minat dalam aktiviti kepenggunaan.  Bergerak berasaskan slogan Ke Arah Generasi Pengguna Sihat, penglibatan  aktiviti ahli  masih memberi fokus  kepada aspek perbelanjaan berhemah, pemakanan seimbang dan pemeliharaan  alam sekitar. Gerakan ini mendapat sokongan dan bantuan sepenuhnya  daripada kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi   dan Kepenggunaan.  Mulai  Disember 2012, setiap universiti akan  menerima geran sebanyak RM 3,000 dalam usaha memperkasakan aktiviti kepenggunaan dalam kalangan siswa.
  3. Penggunaan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia diwujudkan untuk  membantu mengurangkan kos sara hidup para siswa di Institut Pengajian  Tinggi. Dalam pelaksanaan inisiatif ini, kerajaan tidak menangung sebarang   perbelanjaan dan menjadi tanggungjawab sosial bagi syarikat-syarikat serta  bank rakyat yang mengeluarkan kad berkenaan. Diskaun 2 % hingga 60%  diberikan bagi barang dan perkhidmatan yang terpilih tertakluk kepada  terma dan syarat yang ditetapkan
  4. Skuad Pengguna yang dahulunya dikenali sebagai Rakan  Pengguna ditubuhkan untuk membantu kerajaan dalam pemantauan harga barangan      dan perkhidmatan. Keahlian skuad ini melibatkan NGO kepenggunaan dan NGO   bukan kepenggunaan seperti orang ramai, Pasar Raya GIANT dan TESCO.      Keahlian  dibuka kepada rakyat  Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Skuad ini dapat membantu meningkatkan   penguasaan undang-undang menerusi penglibatan orang ramai dalam  memperjuangkan hak-hak pengguna.

Para remaja tidak harus memandang enteng soal pendidikan kepenggunaan. Selagi kita hidup dan bergelar pengguna, selagi itulah ilmu ini perlu ditimba. Kecemerlangan pendidikan yang dicipta tidak lengkap sekiranya kita gagal menguruskan pendapatan dan perbelajaan harian, mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat dan tinggal di dalam persekitaran yang kotor dan tidak selamat . Remaja hari ini adalah pemimpin masa hadapan. Oleh itu elakkan diri anda terjebak daripada belenggu kewangan yang merantai diri. Wang kita hak kita maka berbelanjalah secara bijak. Berpeganglah kepada prinsip “pastikan mutu, bandingkan harga, beli yang perlu”. Barangan keperluan perlulah menjadi keutamaan dan barangan kehendak perlu dikemudiankan supaya setiap ringgit yang dibelanjakan memberi faedah.   Justeru, tuntutlah hak kita sebagai pengguna.  Ayuh! Perubahan bermula dengan diri kita sendiri. Jadilah pengguna bestari.   Pengguna bijak faedahnya banyak !

Advertisements

MINGGU LITERASI 2013 & HARI BUKU SEDUNIA

1.0   PENGENALAN

 Literasi Maklumat adalah satu kemahiran menentukan bila maklumat tertentu diperlukan, kebolehan mencari dan memperolehi maklumat dalam apa jua format dan menggunakan maklumat tersebut dengan berkesan. Kemahiran mencari maklumat perlu didedahkan dalam kalangan guru dan pelajar supaya sekolah selaku organisasi pembelajaran dapat melahirkan golongan yang bersifat  ‘information literate’ dan mempunyai kemahiran belajar alaf 21. Stigma penerokaan maklumat  yang membosankan perlu diubah kepada kaedah mencari ilmu yang menyeronokkan.

20121022_101103

2.0   RASIONAL

Kekangan waktu dan pembelajaran berorietasikan peperiksaan menyebabkan tahap pengetahuan murid-murid  agak terhad. Pengetahuan murid-murid  hanyalah berkisar pembelajaran dalam kelas dan pembacaan buku teks. Pengetahuan murid-murid perlu diperkembangkan selaras dengan kepentingan proses ledakan maklumat dunia. Kemahiran mencari dan mengurus maklumat perlu diberi kepada para pelajar supaya pembelajaran yang diperoleh bersifat sepanjang hayat. Untuk menggalakkan proses penerokaan ilmu, kaedah pencarian maklumat diaplikasikan dalam bentu permainan  dan aktiviti yang menyeronokkan supaya lebih dekat dengan pelajar.

3.0   OUTCOME KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Malahirkan modal insan  yang cemerlang dan mempunyai kebolehpasaran kerja.

4.0   MATLAMAT

Membudayakan amalan Literasi Maklumat dalam kalangan warga Convent20130415_104318

5.0   OBJEKTIF

5.1    Peningkatan pengetahuan warga Convent tentang konsep Literasi Maklumat.

5.2    Menyedia warga Convent kepada masyarakat berliterasi maklumat sebagai wadah pembelajaran sepanjang hayat.

5.3    Memberi pendidikan Literasi Maklumat secara formal.

5.4    Menggunakan Literasi Maklumat untuk meningkatkan pencapaian akademik dan belajar dengan berkesan .20130423_102812

5.5    Meningkatkan penglibatan komuniti dalam proses mencari maklumat

20130421_093343

6.0  PELAKSANAAN

Tempat                  : PSS, Perkarangan Sekolah.

Aktiviti                   :

BIL

AKTIVITI

TARIKH

TINDAKAN

1 Pelanggan Bertuah20130401_103110 14-15/4/2013 Pengawas PSS
2 Sambutan Hari Buku Sedunia

  •   Peminjam bertuah
  •   PSS idaman- cafe NILAM
  •   Reading Olimpus Pusingan 2
  •   Hari Pengampunan Buku
23/4/2013

20130117_123928

GPM
3 Agen 1 bulan 1 buku

20130422_104400

14-15/4/201321-22/4/2013 Pengawas PSS
4 Hari pengampunan Buku 14- 25/4/2013 Pengawas PSS
5 Teka bilangan buku20130422_104843 21-22/4/2013 Pengawas PSS
6 Teka mukasurat buku 21-22/4/2013 Pengawas PSS
7 Pendidikan   pengguna 23/4/2013 GPM/ PPANK
8 Semarak    Maklumat – Teknik PQRST 14-15/4/201321-22/4/2013 GPM
9 Kempen   Penebusan Kupon

20130424_104040

24/4/2013 GPM/ pengawas PSS
10 Pertandingan   Ulasan Buku

20130103_080655

25/4/2013 Pn. Norzawati
12 Reading   Olimpus ; Kuiz  atas  talian 14-15/4/201321-22/4/2013 GPM/ pengawas PSS

HARI BUKU SEDUNIA

TAHUKAH ANDA ?

TARIKH 23 April pada setiap tahun, telah dinobatkan sebagai Hari Buku Sedunia dan Hari Hakcipta oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1995.

Ia sebenarnya telah diilhamkan daripada tradisi Catalan, yang lebih dikenali sebagai Festival of the Rose.196116_504802812884324_72459845_n

Pada tahun 1923, pesta tersebut kemudiannya telah digabungkan dengan ‘el dia del llibre’ atau Hari Buku yang juga telah disambut sempena kematian Miguel de Cervantes dan William Shakespeare serta beberapa penulis lain, iaitu pada 23 April 1616. Sejak dari tahun 1923 itulah, para wanita yang menerima hadiah mawar dari kekasih mereka, kemudiannya akan menghadiahkan buku sebagai hadiah ganti di atas pemberian mawar itu. Juga telah dikatakan pada tahun itu sahaja sebanyak 400,000 buah buku telah terjual yang menjadi hadiah balasan kepada 4 juta mawar!

Tidak keterlaluan jika dikatakan, bahawa sambutan hari buku ini juga untuk meraikan kesinambungan ilmu yang telah ditinggalkan oleh para penulis, yang bukan sahaja  meninggal pada tarikh tersebut, malah kepada semua penulis atau ‘guru’ yang telah mengabadikan ilmu mereka ke dalam bentuk tulisan.536345_489889594375646_1716442520_n

MENGAPA BUKU DIKATAKAN TEMAN SETIA

Kita merasakan bahawa buku  bernyawa apabila kita berada dalam keadaan kritikal;  saat menjelang peperiksaan, memerlukan maklumat tertentu dengan kadar segera, membantu kemajuan kerjaya dan segala macam keperluan lagi.  Begitulah layanan kita terhadap buku.

Sesuatu yang pasti, buku tetap memberi pengaruh besar kepada kehidupan kita. Cendekiawan Arab dahulu kala pernah mengatakan bahawa buku merupakan teman setia yang terbaik.  Buku  tidak pernah mengecewakan kita. Walau bagaimanapun layanan kita terhadapnya, buku  tetap di situ dan bersedia untuk berkhidmat kepada kita.MEMBACA 1

Seorang teman yang akrab sekalipun mungkin saja memutuskan persahabatan, seorang teman hidup yang sekian lama bersama mungkin saja memutuskan ikatan,  seorang kerabat yang sekian lama bersaudara mungkin saja memutuskan pertalian.  Sesungguhnya dengan manusia kita sering kecewa dan kehidupan kita sendiri sukar diramal,  lalu kekecewaan itu dikembalikan kepada buku.  Buku  seolah-olah mengerti; bersedia memberi harapan, membangkitkan kembali semangat kita yang kadang-kadang hilang. Buku akan tetap setia  kerana Islam sendiri mengakuinya sebagai pantulan “IQRA”.  Bacalah untuk menerangi hidup anda, membunuh kejahilan anda, bahkan untuk menguasai dunia dan akhirat. Rasanya tidak ada lagi “alat” yang tarikannya sebagai “penghidup”, “penyaksi”, dan “perakam” kepada kelangsungan peradaban manusia melainkan buku. Kerana itulah, buku rasanya layak menjadi “teman yang setia” kerana keunikannya, keunggulannya, kesetiaannya, keasyikannya, dan daya pikatnya yang luar biasa.

BAGAIMANA MEMASARKAN PSS

MEMASARKAN PUSAT SUMBER MENERUSI PROGRAM 4P

Oleh

ZURIDAH HANIM BT. MD. AKHIR

Sekolah Menengah Kebangsaan Convent

Kedudukan PSS berada di tingkat 4 dan semestinya tidak strategik. Berdiri megah tanpa pelanggan menyebabkan suasana beku, kaku dan hanya sekadar berfungsi sebagai bilik pameran, walaupun agak ceria dan bersifat bersih namun senario ini gagal  menggamit perhatian guru dan murid – murid untuk berkunjung. Hal ini merupakan fenomena ngeri dan mimpi buruk kepada Guru Perpustakaan Media(GPM) khasnya dan kepada pentadbir sekolah amnya.

 20130101_110327

Program 4P  merupakan akronim kepada perkataan “place” (tempat), “promotion” (promosi), “produc” ’(produk) dan “price” (harga) digunakan secara meluas dalam konsep pemasaran. Malahan sarjana – sarjana pendidikan barat turut mengutarakan idea ini bagi membolehkan pengetua sekolah ‘memasarkan’ sekolah masing – masing. Sehubungan itu, konsep 4P boleh diaplikasikan dalam membangunkan PSS dan menarik seluruh warga sekolah menjadikan PSS sebagai destinasi. Konsep ini telah terbukti keberkesanannya menerusi pengalaman PSS SMK Convent sehingga berjaya dinobatkan sebagai Johan PSS Kebangsaan 2009 dan dianugerahkan Anugerah Kualiti Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia 2009.

 

4 komponen yang perlu diberi perhatian dalam memasarkan PSS ialah :

 

1)      Tempat (Place ) – PSS perlu menjadi tempat guru – guru mengamalkan pembelajaran kendiri menerusi pelbagai kaedah penerokaan maklumat dan membuat rujukan. Wujudkan suasana yang kondusif menerusi ruang – ruang belajar dan membaca yang santai, keceriaan yang ‘sedap mata memandang’ dan menimbulkan mood yang selesa umpama di rumah sendiri.

20130203_103405

Aspek tempat juga turut merangkumi sudut – sudut bacaan, laluan – laluan, taman – taman NILAM dan rangkaian sumber yang bukan sekadar berfungsi untuk keceriaan tetapi mampu memberi info yang berguna kepada murid – murid secara tidak langsung.

 

Kolaborasi seluruh warga sekolah adalah penting supaya setiap unit panitia turut memberi sumbangan di samping menggalakkan budaya ilmu dalam pelbagai bentuk aktiviti sokongan akademik di peringkat panitia. Hal ini secara tidak langsung membantu merealisasikan konsep sekolah ialah Pusat Sumber.

20130203_155522

2)      Produk ( Product ) – Guru Perpustakaan Media perlu ‘menjual’ produk yang dapat memenuhi kehendak pelanggan. Dalam aspek ini, pastikan PSS mempunyai koleksi bahan bercetak dan bahan bukan bercetak yang bersifat terkini dan selaras dengan kehendak kurikulum semasa. Bahan – bahan yang menarik sudah pasti mampu menggamit perhatian para guru dan murid untuk berkunjung ke PSS biarpun seketika.

 

Aktiviti PSS juga merupakan sebahagian daripada produk yang  perlu ‘dijual’oleh pihak PSS. Dalam hal ini, rancanglah aktiviti galakan membaca yang menyeronokkan dan ‘dekat di hati’ murid – murid di sekolah. Libatkan para pengawas sekolah dan pengawas PSS untuk menjana idea bagi merancang aktiviti. Biasanya idea – idea yang dilontarkan lebih bersesuaian dengan kumpulan sasaran memandangkan tahap usia yang sebaya. Selitkan aktiviti permainan galakan membaca yang menyeronokkan. Tidak salah menjadikan PSS umpama Taman Tema Sumber Maklumat kerana telah terbukti golongan dewasa juga lebih tertarik mengunjungi taman tema berbanding PSS yang sunyi dan kaku. Adakan pameran bertema terancang, minggu PSS dan Literasi Maklumat, Info Hunt, pertandingan bercerita, pertandingan ejaan, resensi buku dan promosi buku. Biarlah PSS terus hidup dan sibuk dengan aktiviti daripada membiarkannya sepi tidak berpenghuni.

 

3)      Promosi – Pengawas PSS perlu dilatih sebagai agen promosi setiap aktiviti PSS. Edaran brosur, jualan penanda buku, promosi buku, pengumuman di siaraya dan promosi di perhimpunan merupakan media yang berkesan untuk menarik pelanggan.

 

Guru Perpustakaan Media digalakkan memiliki akaun facebook@twitter untuk berinteraksi dengan murid – murid di samping mempromosi aktiviti PSS. Sekiranya berkemahiran, binalah laman web atau blog yang bukan sahaja mempromosi PSS kepada warga sekolah tetapi juga pihak luar.

20130207_101205

Antara aktiviti promosi PSS yang boleh dijalankan ialah menyelit penanda buku atau hadiah misteri kepada pembaca bertuah yang telah mencapai sasaran pinjaman, mengubahsuai PSS umpama pasaraya senyap yang petugasnya memakai uniform unik yang lebih mesra pelanggan berbanding tali leher yang bersifat lebih formal, memasang lagu – lagu instrumental yang lebih mesra untuk menjadi halwa telinga dan seribu satu aktiviti yang menyeronokkan. Sudah pasti situasi ini menyebabkan murid – murid berlari untuk ke PSS setiap hari.

 

4)      Harga ( Price ) – Dalam kontek PSS,  harga merujuk kepada ‘harga yang diperoleh’ dalam usaha memasarkan PSS. Guru Perpustakaan Media bolehlah membuat analisis penggunaan, analisis pinjaman dan analisis penglibatan  untuk mengukur keberkesanan. Dapatan ini juga dapat membantu Guru Perpustakaan Media membuat penilaian aktiviti dan merancang aktiviti susulan untuk meningkatkan keberkesanan.

 

Kaedah pengurusan PSS perlulah mengalami inovasi selaras dengan peredaran semasa. Apatah lagi generasi Y hari ini tidak suka membaca dan cenderung kepada permainan dan hiburan. Oleh itu, tibalah masa kita merubah kepada budaya membaca yang membosankan kepada budaya membaca yang  menyeronokkan.

20121022_101116