GEMPUR NILAM CUTI SEKOLAH

SENARAI SEMAK TINDAKAN MURID-MURID SEPANJANG CUTI SEKOLAH.

Cuti sekolah merupakan waktu terbaik untuk anda merancang strategi untuk mendapat pengiktirafan NILAM. Sudah tentu ada dalam kalangan anda yang berasa kecewa kerana tidak mendapat sebarang hadiah seperti murid lain pada MAJLIS ANUGERAH SERI BITARA. Jangan berasa kecil hati atau merendah diri….rancanglah strategi anda untuk mendapat ganjaran NILAM pada tahun hadapan

LETAK SASARAN

  • 72 –   143        GANGSA
  • 144 – 215        PERAK
  • 216 – 287        EMAS
  • 288 KE ATAS   NILAM
  1. Isikan cuti sekolah anda dengan membaca dan  merekod sebanyak mungkin buku dalam rekod NILAM sepanjang cuti persekolahan.
  2. Buku NILAM di jual di kaunter PSS dengan harga RM 1.00
  3. Pelajar yang merekod 200 buah buku layak mendapat sijil semasa MAJLIS ANUGERAH SERI BITARA.
  4. Kategori lain yang boleh direbut semasa Hari Bitara ialah
  • Anugerah NILAM GEMILANG (20 hadiah).
    Anugerah kelas pencapaian terbaik NILAM Jauhari
  • Anugerah kelas  mencatat NILAM tertinggi.
  • Peminjam terbanyak
  • Rakan Pembaca terbaik

PELAJAR TINGKATAN EMPAT DAN TINGKATAN LIMA   DIINGATKAN UNTUK MENAMBAH BACAAN ANDA SEPANJANG CUTI PERSEKOLAHAN SEHINGGA SEKURANG-KURANGNYA GANGSA  UNTUK DICATAT DALAM SIJIL BERHENTI SEKOLAH..

ORANG SUKA MEMBACA VS TIDAK  SUKA/MALAS MEMBACA

SUKA MEMBACA TIDAK SUKA MEMBACA/ MALAS MEMBACA
You are what you read Tin kosong
Matang dan hebat Otak lambat matang
Bombastic words ‘Vocabulary ‘ terhad
Easy mingle around any   level people Limited knowledge
24 jam/hari tidak  cukup sebenarnya Cepat Bosan
Otak cergas dan   mudah faham Slow Learner
Fokus Mata berair   tengok tulisan ’kenit-kenit’
Pakai   cermin mata ‘ade power’ Pakai cermin   mata hitam untuk melawa
Selalu masuk Popular/MPH Selalu masuk panggung   wayang
Memandang sambil berfikir Memandang   sambil komplen bla..bla
Advertisements

KARNIVAL SUMBER DAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN 1 MALAYSIA

Karnival Sumber danTeknologi Pendidikan 1 Malaysia

Tarikh         : 21-23 Oktober 2012.

Tempat       : Perkarangan BTPN, Kedah

Masa           : 8.30 – 4.30 petang

Sasaran      : Guru-guru dan murid-murid

Objektif

  • PERUBAHAN PENGETAHUAN : menjana kemahiran maklumat serta inovasi dalam penggunaan teknologi secara efektif bagi meningkat kualiti pengajaran dan pembelajaran berasaskan sumber serta meningkatkan gerakan tabiat membaca
  • PERUBAHAN KEMAHIRAN : Membuka minda pihak pengurusan sekolah supaya membangunkan PSS menjadi nadi pencarian ilmu yang mampu menghasilkan pelajar cemerlnng melalui pengajaran yang berorientasikan sumber dan teknologi
  • PERUBAHAN SIKAP : memberi ruang dan peluang kepada murid-murid untuk menerokai maklumat secara pembelajaran melalui konsep ‘ Learning is Fun’

Aktiviti

  1. Pertandingan Resensi Buku
  2. Jualan Buku dan Peralatan ICT
  3. Pameran Agensi Kerajaan
  4. Bicara Buku Kembara Amira daripada Perspektif pengarang
  5. Kursus Kemahiran Fotografi
  6. Pertandingan Explore Race
  7. Pertandingan Jejak Maklumat
  8. Pertandingan Buku Skrap
  9. Tayangan Video terbitan BTPN Kedah
  10. Pertandingan Melukis
  11. Bengkel SPM dan STPM
  12. Kursus Pengurusan PdP Literasi Maklumat
  13. Pelancaran Kem Membaca 1Malaysia
  14. Pertandingan  Pakaian Beragam
  15. Pertandingan Gubahan
  16. Let`s Read Wonderland.
  17. Pertandingan Membaca.

TERIMA KASIH KEPADA AJK KERJA YANG TERDIRI DARIPADA

  •  BARISAN  JURULATIH UTAMA  PSS
  •  WARGA KERJA BTPN KEDAH
  • GURU-GURU DAN MURID-MURID SELAKU PESERTA
  • SERTA PIHAK-PIHAK YANG TERLIBAT SECARA LANGSUNG DAN TIDAK LANGSUNG DALAM MENJAYAKAN KARNIVAL INI.
SELAMAT DATANG KE KARNIVAL SUMBER DAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN 1 MALAYSIA
SEGMEN FIZIKAL JEJAK MAKLUMAT
PERTANDINGAN BUKU SKRAP
KUIZ YANG BERJAYA MENARIK PERHATIAN RAMAI

PAMERAN BUKU
EXPLORE RACE
PERTANDINGAN GUBAHAN SEKOLAH RENDAH
BENGKEL PECUTAN STPM
BENGKEL FOTOGRAFI
PERTANDINGAN MEMBACA TAHAP SATU

 

AYUH BACALAH

karya ZURIDAH HANIM BT MD. AKHIR,

seperti yang disiarkan dalam Dewan Siswa , Oktober 2012.

Pengetahuan amat penting dalam mengharungi kehidupan terutama pada zaman globalisasi.  Setiap insan yang berilmu akan mampu untuk bersaing dalam zaman ledakan maklumat ini.  Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah Al-Zumar ayat 9 yang bermaksud “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”  Berdasarkan maksud ayat ini jelaslah kepada kita hanya orang yang membaca dapat menambah ilmu serta dapat menggunakan ilmu tersebut untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Buku, baca dan tulis sememangnya konsep ‘Iqra’ dalam kehidupan.  Ketiga-tiganya bersatu harmonis sepanjang sejarah kehidupan manusia untuk merakam, mendokumentasi dan memberi penawar kepada manusia seperti kata Ann Quindlen dalam bukunya How Reading Changing My-Life (1998): “Saya percaya membaca pelbagai karya orang luar akan mengajar kita untuk mengetahui, menghayati dan mentafsir pengalaman orang lain dan hal ini menjadikan saya menemui mutiara-mutiara baru dalam kehidupan saya”.  Di samping itu, ada pendapat yang mengatakan menulis adalah satu terapi untuk mengatasi trauma dan kekecewaan selain budaya  menulis itu sebagai pengasah minda. Selain itu, Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas pernah menyebut bahawa “Tanpa berlengah-lengah saya membuat keputusan bahawa sumbangan yang abadi yang dapat diberikan oleh seseorang dalam keadaan seumpama ini adalah menulis sebuah buku kerana sebuah buku dapat kekal lama selepas kerajaan, manusia, negara, catatan pemikiran dan tindakan manusia.” Sememangnya membaca itu dapat mengungkapkan dialog, kekayaan imaginasi, luapan emosi dan gelora kreativiti berkenaan hal-hal yang bersahaja sehingga ke peristiwa agung dalam kehidupan.  Kesimpulannya menerusi buku dan pembacaan manusia terus hidup di dalamnya.

Membaca mempunyai perkaitan yang cukup rapat dengan budaya Ilmu dan kewajipan untuk menuntut ilmu. Sesungguhnya kewajipan menuntut ilmu ini tidak hanya difokuskan kepada para pelajar sahaja tetapi kepada seluruh umat manusia kerana Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda, “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”.  Jika diteliti, baharulah kita menyedari bahawa menuntut ilmu ini  jika semakin didalami, didapati semakin banyak pula yang tidak diketahui.  Ini bersesuaian dengan firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kahfi ayat 109 yang bermaksud ”Sekiranya lautan menjadi tinta untuk melukiskan kalimat-kalimat Allah S.W.T  nescaya tinta itu akan habis sebelum selesai ditulis kalimat-kalimat itu”.  Ini jelas menunjukkan yang ilmu pengetahuan amat penting dalam kehidupan manusia terutamanya ketika semua pihak sedang bersaing untuk mencari ilmu yang berkualiti bagi pembangunan dan kemajuan sesuatu bangsa.

Dalam hal ini, prasyarat bagi pembangunan dan kemajuan sesuatu bangsa ialah penguasaan ilmu pengetahuan dan pembinaan budaya ilmu yang cemerlang. Seseorang individu atau sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau kejayaan dalam sesuatu bidang tidak boleh mempertahankan miliknya tanpa budaya ilmu yang baik. Hal ini kerana ilmu dalam diri setiap individu atau bangsa, bukan sahaja kekal tetapi boleh memberikan keupayaan memulihkan diri dalam menghadapi sebarang kerumitan dan cabaran.

Dengan perkataan lain, dalam mana-mana bangsa yang bertamadun dan maju, ilmu adalah aspek yang begitu dominan dalam proses pembinaannya. Budaya ilmu itu berkembang dan dikembangkan kepada setiap masyarakat pada tahap awal era perubahan sehingga zaman peningkatan dan konsistensi kecemerlangan. Ibnu Khaldun dalam bukunya Mukadimah pernah berkata bahawa “Kekuatan ilmu bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah memberi arah dan makna kepada manusia dan bangsa  tersebut.”

Sesungguhnya, hanya dengan mempunyai ilmu yang mantap sahajalah, para pelajar pada hari ini akan memiliki jati diri yang unggul dan terselamat daripada terjebak dalam gejala sosial yang tidak diingini sekaligus akan memenuhi hasrat kerajaan untuk mencapai tahap Negara maju mengikut acuan tersendiri menjelang tahun 2020. Segalanya bermula dengan kalimah MEMBACA !.

7 RAHSIA AGAR TIDAK LUPA APA YANG DIAJAR.

1 ABAIKAN SEMUA YANG LAIN
Apabila cikgu mula mengajar, hentikan semua perkara yang lain. Berhenti dari mencar buku, mengasah pencil, berhenti menyuruh orang lain diam, berhenti dari mengikat tali kasut dan sebagainya. Beri tumpuan 100% kepada penerangan guru. Ini RAHSIA PALING BESAR pelajar cemerlang!
2 TEKA, APA CIKGU AKAN AJAR
Sebelum cikgu mula mengajarsesuatu topik, tanya dalam minda

  • topik ini berkenaan apa
  • apa yang penting agaknya dalam topik ini
  • topik ini ada kaitan atau pun tidak dengan topik sebelum ini

Lebih banyak soalan dalam minda sebelum cikgu bermula, LEBIH BAGUS!

3 CONTENG KERTAS KOSONG
Semasa cikgu sedang mengajar, jika ada soalan keluar dalam minda anda mengenai apa yang anda tidak faham, contengkan di atas kertas kosong. Apa yang anda faham  semasa cikgu  mengajar juga tanda di atas kertas kosong.
4 BAYANGKAN APA YANG SEDANG CIKGU AJAR
Jika kita tidak bayangkan apa yang cikgu sedang ajar, kita akan terbayangkan benda yang lain. Membayangkan benda lain semasa cikgu sedang mengajar ini dinamakan Berangan-angan atau berkhayal dalam kelas. Bayangkan apa yang sedang cikgu ajarkan atau apa yang cikgu sedang terangkan.
5 CEPAT-CEPAT BUAT LATIHAN
Soalan dari latihan boleh menentukan samada murid-murid faham atau tidak. Lebih banyak faham, lebih banyak kita akan ingat. Apabila terjumpa soalan yang tidak dapat kita jawab atau tidak faham, tuliskan soalan di
atas kertas untuk ditanyakan kepada cikgu.
6 MINTA BANTUAN GURU SETELAH MENCUBA
Ada pelajar bertanya kepada cikgu sebelum dia cuba menjawab soalan bersungguh-sungguh. Ini menyebabkan dia mudah lupa, Buat dulu, fikir dulu dan cuba jawab dulu dengan bersungguh-sungguh, kemudian baru bertanya.
7 BACA SEMULA APA YANG CIKGU AJAR SEBELUM 48 JAM
Kajian saintis menunjukkan jika pelajar belajar 10 perkara hari ini, mereka akan lupa 9 daripadanya selepas 2 hari. Cara mengatasinya ialah selepas belajar, baca semula atau ulangkaji semula. Kita akan lebih mudah ingat dan pasti TIDAK MUDAH LUPA

PERSIAPAN MENUJU KE DEWAN PEPERIKSAAN

 Tip ini di ambil dari akbar BERITA HARIAN untuk pekongsian bersama dan sebarkan kepada murid-murid kita. Antaranya ialah :
  • Semak jadual
  • Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.
    Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.
  • Kunci peperiksaan
    Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.
    Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.
  • Tentukan keutamaan
    Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.
    Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.
  • Banyak mengingat dan membuat kaitan
    Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.
    Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.
  • Merancang persiapan peperiksaan
    Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
    • Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa hari ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.
      Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.
      Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.
      Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.
      Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.
      Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.
      Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.
      Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.
    • Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.
      Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.
      Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.
      Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.
      Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.
      Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel
      Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.
      Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.
    • Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.
      Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.
      Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.
  • Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan
    Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.
  • Berdoa dan bertawakal
    Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.

    Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan menghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, murid-murid akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti. Insyallah kejayaan sentiasa ada untuk orang yang terus berusaha…..wassallam.

DOA-DOA MENGHADAPI PEPERIKSAAN

http://retibahasa.blogspot.com/2010/08/doa-doa-yang-boleh-diamalkan-semasa_18.html