PENGALAMAN UNTUK DIKONGSI

seperti yang disiarkan dalam Buletin Wawasan terbitan BTPN Kedah

LITERASI MAKLUMAT :-

PENGALAMAN DI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN CONVENT

OLEH

ZURIDAH HANIM BT  DATO’ MD. AKHIR

Pengenalan

Pusat Sumber selaku nadi ilmu bagi sesebuah sekolah memainkan peranan utama dalam memupuk budaya membaca. Bersesuaian dengan fungsi penubuhannya sebagai pusat menyedia, mengumpul, menyimpan , mengedar dan memberi perkhidmatan koleksi bahan, ia perlu dilihat sebagai agen perubahan yang perlu bergerak seiring dengan perkembangan kurikulum di sekolah.

Di Malaysia, kebanyakan Pusat Sumber Sekolah (PSS) wujud terasing daripada kurikulum. Potensi PSS sebagai penyokong terhadap proses P&P belumlah direalisasikan sepenuhnya. Antara faktor utama ketidakberkesanan fungsi PSS adalah kegagalannya memenuhi kehendak pelanggan dan kehendak kurikulum di sekolah.

Peranan PSS tidak boleh dipandang ringan sekiranya kita ingin melahirkan generasi berilmu dalam era k-ekonomi. Matlamat untuk melahirkan pekerja dan pemimpin yang berjaya boleh dipupuk dengan kemahiran berfikir secara kritikal menerusi kemahiran maklumat dan pengalaman di alam pembelajaran. (Che Normadiah bt Hj. Che Abas : 2002 ) Pemupukan budaya membaca dilihat sebagai eleman yang penting supaya pelajar lebih celik maklumat dan bersedia untuk ke peringkat yang lebih tinggi.

Selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang memfokuskan pendidikan sepanjang hayat, pendedahan Literasi Maklumat secara langsung maupun penggabungjalinan dalam P&P mampu membantu masalah pelajar yang buta maklumat. Tahap pembacaan yang rendah menyebabkan para pelajar tidak mampu untuk berfikir secara kritis dan kreatif apatah lagi dalam penyelesaian masalah. Buku-buku akademik di PSS tidak dimanfaatkan sedangkan buku-buku picisan menjadi pilihan.

Kemahiran Maklumat dan Literasi Maklumat

Martin Tessner (dalam Kuhlthau : 1987) mendefinisikan kemahiran maklumat sebagai :-

The ability to effectively access and evaluate information for a given need.

T. Brake (1986) pula menyatakan bahawa kemahiran maklumat ialah :-

            The ability to locate and retrieve information from a wide variety of information sources relevant and adequate to the management of  pre-formulated problems.

Secara umumnya kemahiran maklumat merupakan semua kemahiran yang diperlukan bagi mendapat dan mengolah maklumat secara cekap dan berkesan.  Literasi maklumat pula merupakan keupayaan untuk mencapai dan menilai maklumat bagi membuat pemilihan dan penyelesaian masalah secara efektif. Ia menggabungkan kemampuan bagi pembelajaran sepanjang hayat dan kebolehan untuk menyesuaikan dengan perubahan teknologi dan sosial serta ilmu-ilmu baru.

Senario awal : Pengalaman di SMK Convent. 

Kemahiran Maklumat dan Literasi Maklumat tidak dapat diaplikasi di sekolah sekiranya tahap pembacaan di kalangan guru-guru dan para pelajar adalah rendah. Amalan membaca tidak dijadikan budaya dan PSS umpama bilik –bilik khas yang bersifat ‘tidak laku’, kaku, beku dan tidak mampu untuk menarik pelanggan mengunjunginya. Walaupun agak ceria dan bersifat bersih tetapi PSS bergerak sendiri dan bersifat terasing.

Penggunaan PSS tidak mencapai tahap maksimum seperti yang digariskan. Ia sekadar menjadi medan kepada guru-guru memenuhi waktu ganti (relief). Pelajar-pelajar yang menggunakan PSS pada waktu perpustakaan dan Program Nilam kurang menunjukkan minat yang mendalam. Hal ini terbukti berdasarkan jumlah pinjaman buku yang minimum. Kedudukan PSS yang tidak strategik turut menyumbangkan kepada faktor-faktor yang tidak menggalakkan penggunaanya di kalangan warga sekolah.

Senario ini telah menimbulkan idea penyelidik selaku guru media di SMKC untuk menggunakan pendekatan Penyelidikan Tindakan untuk mengenal pasti punca masalah dan mencari pendekatan terbaik untuk mengatasi masalah ini.

Mesra Pengguna  

Program Mesra Pengguna terhasil berdasarkan Penyelidikan Tindakan bertajuk Ke Arah  Peningkatan Mutu Perkhidmatan PSS Sebagai Pusat Pengumpulan Maklumat. Menggunakan borang kaji selidik,  temuramah dan pemerhatian sebagai instrumen kajian, penyelidik selaku guru media mendapati PSS sedia ada tidak memenuhi `citarasa` warga sekolah selaku pelanggan. Faktor-faktor yang mempengaruhi bilangan pelanggan ke PSS ialah :-

  1. Kemudahan      fizikal  –  kerusi meja terhad, ruang PSS sempit dan      bahan bacaan tidak bersifat terkini dan tidak menarik.
  2. Tiada      hebahan perkhidmatan yang ditawarkan.
  3. Layan pengawas yang tidak      memuaskan.
  4. Rak      bacaan terhad sentiasa berkunci dan sukar untuk mendapat kebenaran      menggunakannya.
  5. Tiada      kemudahan penyimpanan kasut.
  6. Suasana PSS yang tidak kondusif.

Untuk mengatasi masalah ini, program Mesra Pengguna telah dijalankan yang lebih berfokus untuk memperkenalkan PSS kepada warga sekolah. Menerusi program ini PSS telah melaksanakan aktiviti – aktiviti berikut :-

  1.  Orientasi PSS kepada pelajar tingkatan satu.
  2. Kursus Pengurusan Pengawas Pusat Sumber.
  3. Kursus Kepimpinan Pengawas.
  4. Pameran dan Kuiz Kenali PSS Anda.
  5. Buletin PSS – Canang
  6. Pameran bertema
  7. Pertandingan Mengarang Esei bertemakan faedah membaca dan penggunaan PSS dalam pendidikan.
  8. Kempen Bulan Membaca
  9. Anugerah khas – pembaca terbanyak, kelas peminjam terbanyak, Cabutan bertuah.
  10. Pengumpulan semula sejarah SMKC , majalah sekolah lama.
  11. Mewujudkan Anugerah Nilam semasa Hari Anugerah Cemerlang.
  12. Memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal dan perkhidmatan pengurusan PSS.
  13. Menambah bahan bacaan

Berlaku peningkatan jumlah pinjaman buku  selepas pelaksanaan program yang boleh dilihat menerusi graf di bawah : –

Program PSS Destinasiku

Program PSS Destinasiku merupakan lanjutan Program Mesra Pengguna yang telah dilaksanakan pada tahun 2003. Kejayaan Program Mesra Pengguna telah mencetuskan idea pihak pengurusan Pusat Sumber Sekolah dalam merangka aktiviti berbentuk carian maklumat. Sekiranya program Mesra Pengguna adalah proses untuk ’memperkenalkan semula’  PSS, program peringkat kedua ini mula memberi fokus kepada aktiviti carian maklumat. Menerusi program ini diharapkan stigma budaya membaca yang membosankan dapat diubah menerusi pelbagai aktiviti  menarik. Secara tidak langsung aktiviti –aktiviti  berunsurkan aplikasi literasi maklumat dapat diterapkan di samping menambah jumlah pengunjung ke PSS.

Bermatlamatkan untuk menggalakkan penggunaan Pusat Sumber Sekolah dan seterusnya meningkatkan minat pelajar terhadap aktiviti berasaskan sumber, PSS telah memberi fokus kepada pelaksanaan aktiviti-aktiviti info – hunt  di samping meneruskan aktiviti sedia ada Penyelidik selaku guru media juga telah menjalankan satu lagi kajian tindakan  untuk mengenalpasti ‘trend’ pembacaan guru, staff dan para pelajar sekolah . Hasil dapatan kajian mendapati warga sekolah selaku pelanggan PSS mahukan perubahan dari segi  koleksi bahan supaya dapat memenuhi keperluan mereka terutama dalam P&P. Bahan yang sedia ada adalah tidak bersifat terkini. Sehubungan dengan itu, proses mengenalpasti bahan dan hapuskira telah dijalankan. Bekas  Pengawas PSS yang telah meninggalkan sekolah banyak membantu dan turun padang bersama. Penambahan koleksi buku terkini telah menggalakkan jumlah pengunjung dan penggunaan PSS. Bilangan pinjaman buku dikalangan guru juga turut bertambah.

Berdasarkan pemerhatian didapati adanya kesedaran dan perubahan sikap di kalangan warga sekolah . Guru-guru mula memberi perhatian dan bertanyakan judul-judul buku yang bersesuaian dengan P&P . Kaedah pembelajaran  yang bersifat kerja projek telah menjadikan PSS sebagai pusat rujukan utama. Perbincangan antara guru-guru, pihak pentadbir dan para pelajar dengan pihak pengurusan PSS secara formal dan tidak formal membolehkan penambahbaikan dilaksanakan secara berterusan (Continous Improvement). .

Reconvent

Proses pembudayaan pembacaan bukanlah sesuatu yang mudah dan mengambil jalan yang singkat. Menjadikan pelajar celik maklumat perlu fasa demi fasa dan memerlukan pendekatan yang bersesuaian dengan tahap umur. Golongan pendidik sedia maklum bahawa generasi hari ini lebih cenderung memilih bahan bacaan berbentuk picisan (hiburan) dan mengabaikan pembacaan berkualiti. Stigma budaya membaca yang membosankan dan tumpuan kepada buku-buku akademik yang lebih berorientasikan peperiksaan semata-mata menyebabkan pembudayaan amalan membaca tidak dapat mencapai sasarannya.

Post-mortem yang dijalankan mendapati pembacaan pelajar masih ditahap yang rendah kerana bahan bacaan yang dipilih tidak banyak membantu pelajar dalam meningkatkan ilmu pengetahuan. Reconvent yang merupakan akronim bagi “Reading and Reengineering  in Convent’ mempunyai tafsiran yang meluas. Selain memfokuskan kepada amalan membaca itu sendiri, program ini diharapkan bersifat reengineering semula amalan, budaya dan pemikiran warga sekolah secara menyeluruh. Berdasarkan statistik pinjaman buku di perpustakaan pada tahun 2004 didapati para pelajar dan guru-guru meminjam sebanyak 5378 buah buku iaitu hanya mencapai nisbah 1: 6. Jumlah pembacanya terdiri daripada guru- guru dan para pelajar yang sama. Klasifikasi buku yang menjadi tumpuan pembaca kebanyakkannya buku fiksyen. Skop pembacaan yang kurang serta rendah kesedaran bagi meningkatkan budaya ilmu menyebabkan pelajar- pelajar serta guru – guru mempunyai pengetahuan am yang rendah.. Tambahan pula pembacaan berkualiti yang berterusan mampu memberi kesan yang ‘significant’ kepada pencapaian pelajar dalam peperiksaan awam serta pengajaran guru di dalam kelas.

Program ‘ReConvent’ dilaksanakan secara menyeluruh dengan pengemblengan tenaga 5 orang guru serta 20 orang pelajar sebagai pembantu. Pelaksanaan aktiviti  memfokuskan kepada pemupukan budaya membaca dalam bentuk ‘Learning with reading is fun’.

Sepanjang tahun , aktiviti adalah lebih berfokuskan kepada aplikasi literasi maklumat dan PSS merentasi kurikulum. Fokus aktiviti boleh diagihkan kepada aspek-aspek berikut :-

a)      Kolaborasi

  • Pemilihan koleksi bahan melalui edaran keperluan panitia di PSS semasa mesyuarat guru terakhir.
  • Penyediaan bahan bersama dalam kerja projek dan folio pelajar seperti Pendidikan Seni, Sejarah, Pendidikan Sivik dan Kenegaraan dan EST.
  • Pusat rujukan dan penyelidikan pelajar-pelajar yang menyertai pertandingan seperti debat, kuiz dan forum.
  • Minggu-minggu mata pelajaran/panitia dan aktiviti-aktiviti khas contohnya sambutan kemerdekaan.

b)      Info hunt – pertandingan kuiz, carian maklumat, teka teki peribahasa, teka silang kata, dan permainan bahasa yang berorientasikan carian maklumat di PSS.

c)      ReadingOlympus– Pertandingan menjawab soalan pengetahuan am berdasarkan kecekapan kemahiran-kemahiran membaca.

d)     Literasi Maklumat merentasi Kurikulum

  • Zon Info Bestari PSS – edaran bahan-bahan dari PSS ke semua bilik-bilik mata pelajaran.
  • Program Karangan Lima Bintang – menyediakan contoh-contoh karangan yang difailkan untuk disalin oleh pelajar dalam buku karangan.
  • Bilik-bilik Mata pelajaran- bilik darjah dijadikan bilik mata pelajaran dan para pelajar bergerak mengikut mata pelajaran. Bilik dilengkapi dengan alat bantu mengajar yang berkaitan.
  • Koleksi soalan-soalan peperiksaan.
  • Keratan-keratan akhbar topic-topik/ isu – isu yang menjadi focus peperiksaan.
  • PSS dijadikan pusat rujukan utama dalam teknik pembelajaran menggunakan kaedah kerja projek dan carian maklumat

e)      Promosi menerusi Canang PSS, papan bulletin dan edaran di setiap bilik mata pelajaran melalui ruangan Zon Info Bestari PSS di setiap kelas.

f)       Selayang pandang – memperkenalkan buku-buku terbaru di PSS pada waktu perhimpunan.

g)      Mewujudkan kumpulan duta Reconvent yang terdiri daripada 20 orang para pelajar tingkatan empat. Pelajar-pelajar ini menjadi agen penggerak aktiviti galakan membaca PSS . Kumpulan ini telah menyertai pertandingan Duta Remaja Celcom dan menjadikan  aktiviti galakan membaca  sebagai projek mereka. Kumpulan RECELCON ( Reading With Celcom and Convent) ini   telah berjaya mewakili Negeri Kedah ke  peringkat akhir dalam pembentangan di peringkat kebangsaan pada tahun 2005.

h)      Nilam Merentasi Kurikulum.

i)        Program Bacaan 10 minit – pelajar-pelajar yang  masuk ke PSS pada waktu relief dikehendaki mencatat dalam borang khas maklumat pembacaan mereka.

j)        Guru media turut diberi peranan dalam proses pecutan terakhir pelajar yang menduduki peperiksaan serta mengadakan bengkel-bengkel khas bersama pelajar bukan kelas peperiksaan dalam memperkenalkan kaedah-kaedah belajar yang bersesuaian.

Pada tahap ini, pembacaan pelajar diharapkan dapat membantu mereka dalam peningkatan pencapaian akademik. Buku-buku ilmiah dan ensiklopedia yang bersifat lebih santai diperbanyakan supaya ‘reading for leisure’ dijadikan amalan terutama pada waktu ganti dan waktu rehat. Pelajar-pelajar dibenarkan meminjam buku bertanda merah (red sport)  termasuk ensiklopedia. Walaupun pihak pengurusan PSS terpaksa menanggung risiko kerosakan dan kehilangan namun selaku pengusaha pasaraya , risiko perlu ditanggung sekiranya keuntungan ingin dicapai. Langkah ini banyak membuka mata warga sekolah bahawa PSS sedia ada mengandungi koleksi bahan yang menarik serta pelbagai walaupun jumlahnya hanyalah sekitar 9000 buah  sahaja. Kerja-kerja projek dan tugasan yang diberikan guru membantu mereka mempelajari kemahiran maklumat serta kemahiran penggunaan perpustakaan secara tidak langsung.

Jumlah pinjaman buku terus bertambah dan tren pembacaan berdasarkan pemerhatian mula berubah. Buku-buku berbentuk fiksyen  masih lagi menjadi tumpuan tetapi jumlahnya sudah semakin berkurangan. Rak bertanda hijau dan merah yang kebanyakan membariskan buku pengetahuan am, motivasi dan ensiklopedia sentiasa ‘hangat di pasaran.’

 Penilaian

Perbandingan pinjaman buku boleh dilihat berdasarkan graf di bawah

Bilangan A dalam Keputusan Bahasa Melayu PMR menunjukkan peningkatan dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Di samping usaha keras para guru, PSS turut memainkan peranan dalam proses pecutan terakhir menggunakan kaedah peta minda, menyediakan bank-bank soalan, keratan-keratan akhbar, buku-buku motivasi serta ruangan motivasi diri dalam bulletin PSS, contoh-contoh karangan  serta bahan-bahan yang bersesuaian dengan  sukatan pelajaran.

Berlaku hubungan yang ‘menarik’ di antara jumlah pinjaman buku Bahasa Melayu dengan keputusan pelajar. Kelas yang mempunyai kadar pinjaman yang tinggi mempunyai bilangan A yang lebih banyak. Kelas A dan B yang sememangnya pelanggan setia PSS hampir keseluruhan mendapat A.

PSS juga menjadi ‘rakan pembantu utama’ dalam penyediaan bahan untuk kerja kursus. Guru-guru biasanya berbincang terlebih dahulu dengan guru media berkaitan tajuk-tajuk yang bersesuaian supaya para pelajar tidak menghadapi masalah dalam mendapatkan bahan. Guru –guru  Sejarah, Sivik dan Kenegaraan, Pendidikan Seni Visual  dan EST  merupakan antara      guru-guru yang sering mengadakan aktiviti kolaborasi dengan PSS. Pendidikan Seni Visual telah menunjukkan pencapaian yang memberansangkan dalam keputusan SPM 2005 yang lalu berdasarkan graf di bawah.

Aktiviti yang dijalankan dalam ketiga-tiga peringkat program telah mendedahkan pelajar  dengan kemahiran-kemahiran berikut :-

  1. Kemahiran Perpustakaan
    • lokasi bahan
    •  susunan buku/majalah
    •  rujukan – kamus/glosari
  2.  Kemahiran Belajar
  • kemahiran berfikir
  • kemahiran membaca
  • kemahiran melihat
  • kemahiran mencatat
  •   nota
  • menyusun dan menyampai maklumat
  • membuat rumusan
  1. Kemahiran Berkomunikasi
    • kemahiran menyoal
    • memberi pendapat dan pandangan
    • menyampai maklumat
  1. Kemahiran Hidup
    • mengurus masa
    • mengurus diri
    • pembelajaran sepanjang hayat.

Carian maklumat menggunakan pendekatan  Model BIG 6 yang menggabungkan enam kemahiran utama iaitu

  1. definisi tugasan-      mengenalpasti tugasan, skop serta sumber yang bersesuaian untuk      mendapatkan maklumat.
  2.  Strategi mencari      maklumat – pemilihan sumber mengikut kesesuaian keperluan.
  3. lokasi dan akses –      menggunakan kemahiran belajar, memilih strategi teknologi yang sesuai      untuk mendapatkan maklumat.
  4.  kegunaan maklumat – mengumpul dan menyusun maklumat untuk persembahan.
  5.  sintesis –      pengubahsuaian maklumat kepada format yang dapat memenuhi keperluan      tugasan.
  6.  Penilaian – tentukan      bagaimana keberkesanan dan keefisiennya penyelesaian permasalahan maklumat      dijalankan.

Kesimpulan

Kejayaan program-program yang telah dibincangkan adalah bergantung kepada budaya dan suasana sekolah. Pihak pengurusan sekolah yang diterajui oleh pengetua memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan pelaksanaan Literasi Maklumat dalam P&P. Kaedah kajian tindakan perlu dilaksanakan supaya perancangan yang dibentuk mampu menjadi ‘penawar’ kepada masalah yang dihadapi. Sekiranya perancangan tidak mencapai objektif yang disasarkan, proses penambahabaikan dan kajian semula perlu dilaksanakan.

Pelaksanaan pengajaran Literasi Maklumat serta aplikasinya merentasi kurikulum secara menyeluruh di sekolah perlu mengambil masa kerana budaya membaca di kalangan para pelajar di Malaysia masih rendah. Apatah lagi budaya mencari dan menyelidik tidak diperkembangkan di sekolah kerana sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan lebih banyak menekankan kepada output berbanding proses pembelajaran. Masa yang terhad serta kandungan kurikulum yang banyak serta padat merupakan antara kekangan yang menyebabkan para guru lebih suka menggunakan kaedah `spoon feed`.

Namun begitu, kaedah pembelajaran berasaskan sumber ini bolehlah diklasifikasikan sebagai pelaburan jangka panjang kerana ia membolehkan pelajar belajar dalam erti kata sebenar. Ilmu serta pengalaman ini dapat membantu pelajar di peringkat sekolah menengah membiasakan diri dengan corak pembelajaran di institusi pengajian tinggi. Kaedah ini dapat membentuk pelajar yang lebih bersifat ‘survival’ serta mengatasi masalah pencapaian pelajar yang kurang memberangsangkan di peringkat universiti.

Bibliografi

American  Library Association (1988) Information Power, Guidelines for School   Library  Media Programs,

Brake, T. (1986) Tools for learning: information skills and learning to learn in secondary  schools, dalam  Markless, S.,  Lincoln P.,London: British Library Research and     Development Department,  BLR&D Report number 5892.

Che Normadiah bt. Hj Che Abbas (2002) Aplikasi Kemahiran Maklumat Melalui Pusat     Sumber Sekolah dalam Pengajaran dan Pembelajaran, Wawasan, Jilid 16 Bil 2,      2002 , PSPN Kedah.

Kementerian Pendidikan Malaysia, (2002)  Modul Kemahiran Pengurusan Sumber

            Untuk Guru, Bahagian Teknologi  Pendidikan,.

Kuhlthau, C. C (1987) Information Skills for an Information Society: A Review of  

            Research , ERIC Digest.

Vias, R (1991) Memupuk Pembelajaran Sepanjang Hayat Melalui Pengajaran dan            Penghayatan Kemahiran Maklumat, Kertas Kerja Seminar Mengintegrasi PSS            dengan Program Pengajaran dan Pembelajaran, (1991) Pusat Sumber    Pendidikan  Negeri Kedah.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s