LANGKAH MENANAM MINAT MEMBACA

Seringkali kita berazam untuk membaca lebih banyak buku atau sekurang-kurangnya cuba menimbulkan minat membaca dalam diri sendiri, tetapi kecundang separuh jalan.

Berikut adalah beberapa panduan yang boleh dicuba, gabungan daripada panduan yang ditulis oleh Leo Babauta dan Kevin Eikenberry (dengan sedikit kesesuaian dengan budaya dan persekitaranMalaysia).

  1. Tentukan masa. Anda harus menetapkan waktu khas beberapa kali dalam sehari untuk membaca selama 5-10 minit.  Tidak kira apa sekalipun yang berlaku, anda harus membaca pada waktu tersebut. Misalnya, jadikan tabiat untuk membaca ketika bersarapan atau   makan tengahari (mahupun makan malam) jika anda bersendirian. Kalau waktu  ini ditambah dengan membaca semasa sedang duduk-duduk (di dalam bas, LRT  atau teksi) atau membaca sebelum tidur, anda telah membaca 4 kali sehari selama 10 minit. Semuanya berjumlah 40 minit dan ini adalah satu  permulaaan yang cukup baik untuk membina tabiat membaca!
  2. Sentiasa  bawa buku bersama anda. Ke mana sahaja anda pergi, bawalah  sebuah buku bersama-sama. Kata Babauta, ke mana sahaja dia pergi, dia akan membawa sekurang-kurangnya lesen memandu, kunci dan buku. Buku tersebut  akan berada di dalam kereta bersama-samanya, dibawa masuk ke pejabat,    dikelek semasa hadir temu janji dan hampir ke mana sahaja, kecuali apabila  berkunjung ke tempat yang dia benar-benar pasti buku itu tidak akan  dibelek (misalnya ketika menonton wayang). Jadi, apabila ada waktunya anda  perlu menunggu, misalnya giliran berjumpa doktor atau giliran di kaunter  jabatan awam untuk urusan tertentu, keluarkan buku dan nikmatilah ia.
  3. Tentukan  sasaran dalam pembacaan. Tetapkan berapa lama anda mahu   membaca dalam sehari atau berapa buah buku yang anda mahu baca dalam   tempoh tertentu. Katakanlah sasaran anda sebuah buku sebulan, sebuah   seminggu atau membaca hanya 30 minit sehari. Bermulalah dengan sesuatu    yang boleh anda capai, tetapi masih memerlukan usaha anda untuk    mencapainya. Apabila tabiat anda telah terbentuk, tentukan sasaran baharu      yang lebih mencabar.
  4. Simpan   sebuah log pembacaan. Log ini boleh membantu anda memantau perkembangan  tabiat membaca. Cukup sekadar merekodkan buku yang anda baca atau masa  yang anda gunakan untuk membaca dalam sehari, kemudian letakkannya di mana   sahaja anda fikirkan sesuai. Anak Eikenberry menampal log pembacaannya   pada pintu peti sejuk, manakala Eikenberry menampalkan lognya di komputer.    Anda boleh juga membicarakan secara blog  di dalam talian. Tidak kira di mana anda      meletakkannya, yang penting lakukannya!
  5. Simpan  satu senarai buku. Buat satu senarai buku-buku yang ingin anda baca.   Tanya sahabat atau rakan sekerja apa yang mereka baca. Perhatikan      syor-syor tentang buku menarik dan terbaru di dalam majalah dan akhbar.      Sebaik sahaja anda mula mencari tentang buku, anda akan menemuinya di      mana-mana. Ini juga satu cara yang baik untuk meningkatkan semangat      membaca. Dengan mengetahui buku apa yang menarik untuk dihadam, tabiat  membaca anda akan semakin kukuh.
  6. Tutup  televisyen anda. Ramai orang berkata mereka tidak punya cukup masa      untuk membaca. Televisyen adalah punca kita boros menggunakan masa  (ya, kita boleh boros dengan masa yang  sangat berharga). Jadikan tabiat menonton televisyen sesuatu yang  lebih kita awasi dan kurangkan kekerapannya. Tidak salah menonton  televisyen untuk perkara yang bermanfaat, tetapi masa yang banyak akan terbuang bagi mereka yang membuka televisyen untuk mencari sesuatu yang  boleh ditonton. Ketika anda tersedar anda sedang membuka televisyen untuk tujuan   tersebut, tutuplah televisyen dan ambil buku anda!
  7. Apabila keadaan tidak mengizinkan anda membaca, dengarlah buku itu. Gunakan  masa anda dalam perjalanan contohnya semasa memandu di dalam kereta untuk ’mendengar  buku`. Terdapat versi audio bagi sesetengah buku terutamanya buku  berbahasa Inggeris. Jangan hadkan hubungan anda dengan buku dalam erti  kata membacanya, kerana `mendengar’ buku juga boleh memberikan anda  pengalaman, idea dan imaginasi yang boleh didapati daripada pembacaan.
  8. Cari   tempat yang senyap dan selesa. Rumah anda   tentu mempunyai satu sudut yang paling tenang. Cari tempat itu, di mana      anda boleh duduk dengan selesa dan bermesra dengan buku-buku yang terbaik      tanpa gangguan. Cuba elakkan televisyen dan komputer supaya anda mendapat      lebih tumpuan dan tiada gangguan sampingan. Hadkan juga muzik dan gangguan      ahli keluarga / teman yang mahu berbual kosong. Jika rumah anda tiada tempat sebegini,      cubalah wujudkannya.
  9. Kurangkan  penggunaan Internet untuk tujuan lain. Mengurangkan  penggunaan Internet juga boleh membantu anda membaca. Tetapi  bergantung kepada tujuan penggunaan      Internet anda. Jika anda menggunakan Internet untuk membaca buku-buku      dalam talian, ini pun sebahagian daripada penanaman tabiat membaca juga!      Terdapat banyak pilihan buku dalam talian pts online, bukuria dan      sebagainya.
  10. Bacakan buku kepada anak anda. Jika anda mempunyai anak, anda      mesti dan mesti membacakan buku untuk anak anda. Tabiat membaca harus  dicipta sedari usia kanak-kanak dan ini adalah waktu paling mudah      membentuk mereka. Ia akan membantu mereka menjadi pembaca yang tekun  apabila dewasa… dan ini akan membantu mereka menjadi orang berjaya.   Carikan mereka buku kanak-kanak yang menarik dan bacakan untuk mereka.  Pada waktu yang sama, anda membentuk minat membaca dalam diri anda dan   berpeluang menghabiskan masa yang bermutu dengan anak.
  11. Sertai kelab buku atau kelompok pembaca. Biasanya      kelompok pembaca bertemu sebulan sekali untuk membincangkan sebuah buku      yang telah mereka pilih untuk bulan tersebut. Dengan menyertai kumpulan      seperti ini, ia akan mendorong anda untuk menghabiskan sekurang-kurangnya   buku tersebut dan memberi peluang anda berbincang dan bermasyarakat  berdasarkan tema buku yang dibaca.
  12. Kerapkan  melawat perpustakaan dan kedai buku. Anda telah      mempunyai senarai buku yang mahu dibaca, bukan? Jadi sekurang-kurangnya anda ada gambaran tentang apa yang anda ingin cari apabila masuk ke kedai  buku atau perpustakaan. Tetapi ada satu kelebihan lain apabila masuk ke gedung buku – iaitu anda punya kesempatan untuk meneliti buku-buku lain.  Beri peluang kepada diri anda untuk meneroka dan membuat penemuan yang  mengujakan. Meneroka sebegini adalah makanan kepada keperluan mental anda      sebagai pembaca.
  13. Lawatilah kedai buku terpakai. Satu tempat kegemaran Babauta adalah kedai buku  terpakai. Selalunya dia akan membawa bersama buku-buku yang ingin dijual.   Jadi walaupun anda banyak membaca, perbelanjaan anda untuk buku tidak  begitu besar dan membebankan. Peluang membelek-belek buku yang pernah  dibaca oleh orang lain adalah pengalaman menyeronokkan. Jadikan kehadiran  anda di kedai buku terpakai satu kebiasaan. Termasuk dalam saranan ini  tentulah kedai sewa buku.
  14. Wujudkan  satu hari khas untuk ke perpustakaan. Satu cara yang      lebih murah untuk mendapatkan sumber bacaan tentulah perpustakaan. Pilih   satu hari dalam seminggu untuk bersantai di perpustakaan. Jadikan ia   sebagai suatu hari yang menyeronokkan, seperti hari anda mahu keluar      membeli-belah atau berkumpul bersama-sama rakan-rakan. Mungkin kunjungan      anda boleh disesuaikan dengan apa-apa acara yang sedang dianjurkan oleh   perpustakaan atau di sekitarnya. Jadi ia juga peluang anda untuk bertemu    dengan tokoh-tokoh tertentu, menikmati persembahan kebudayaan, demonstrasi  lukisan, pertandingan dan lain-lain.
  15. Bina      strategi anda sendiri. Buat keputusan yang tepat dengan      menilai masa yang paling sesuai dalam jadual anda untuk membaca.      Sesetengah orang membaca sebaik sahaja mencelikkan mata, manakala yang     lain sebelum tidur. Ada yang membaca semasa makan tengahari. Fahami diri    anda kerana bukan sahaja masa yang menentukan, tetapi juga strategi. Pilih  strategi yang sesuai dengan diri anda. Membaca banyak buku sekaligus      mungkin sesuai bagi anda. Anda juga boleh membaca menggunakan teknik skimming, tanpa perlu      membaca daripada kulit ke kulit atau setiap helaiannya. Tentukan apa yang      terbaik untuk diri anda, bangunkan kepercayaan dan idea asli anda –      pastikan strategi itu boleh dipakai untuk diri sendiri dengan jayanya.
  16. Baca buku   yang menyeronokkan dan mencabar. Cari buku      yang benar-benar menggugat perasaan dan kehendak anda. Meskipun buku itu      bukan buku terkenal atau laris, tetapi jika ia membuka selera anda untuk      membaca, bacalah buku itu! Apabila tabiat membaca anda telah berkembang, bolehlah anda beralih kepada buku-buku yang lebih sukar, tetapi sekarang   sambar dahulu mana-mana buku yang anda rasa teruja dengannya.
  17. Jadikan  masa anda dengan buku sebagai waktu terbaik. Jadikan masa      membaca anda itu waktu yang paling menyeronokkan sehari-hari. Buatkan      secawan teh / kopi yang paling anda gemari, atau sediakan apa-apa yang      boleh membuatkan anda rasa sangat selesa. Membacalah ketika anda sedang      bersantai di tepi pantai atau di atas kerusi empuk yang paling anda sukai.
  18. Libatkan  ahli keluarga atau teman anda. Cuba ajak orang      di sekitar anda untuk membaca bersama. Anda telah pun menentukan masa      tertentu untuk membaca sekurang-kurangnya 5-10 minit beberapa kali sehari,      jadi mengapa tidak libatkan orang-orang di sekeliling anda juga untuk      mewujudkan suasana yang lebih membantu anda membaca.

Semoga panduan di atas dapat membantu kita semua menanam tabiat membaca dengan kukuh dan mengembangkan semangat mencari ilmu pada setiap kesempatan yang ada.

Sumber:

Leo Babauta (2007). 14 ways to cultivate a lifetime reading habit, Stepcase Lifeshack.

Kevin Eikenberry (2005). Ten ways to strengthen your reading habit, Ezine

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s