NILAM

perkongsian aktiviti nilam

MENINGKATKAN KEBERKESANAN BUDAYA MEMBACA DI SEKOLAH   

Oleh

Zuridah Hanim bt Dato’  Md. Akhir

Membaca adalah kaedah utama untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Kepentingan ini lebih jelas dilihat menerusi wahyu Allah dalam surah al-Alaq, ayat 1– 5 yang bermaksud

“ Bacalah (Wahai Muhamad S.AW) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk).  Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia menerusi pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Dalam hal ini kita semua sedia maklum bahawa salah satu daripada usaha bagi mendapat, menambah ilmu dan sumber ilmu baru adalah menerusi pembacaan. Membaca turut dikaitkan dengan proses pembangunan masyarakat berfikir dan bernilai tinggi. Malah jelas terbukti dalam masyarakat hari ini bahawa individu yang berterusan membaca mempunyai personaliti yang dihormati dan berkualiti serta kaya dengan maklumat. Lebih tinggi nilai ilmu yang dimiliki seseorang, lebih tinggi hormat dan tanggapan masyarakat terhadapnya. Malah  ilmu yang dimiliki boleh dimanfaatkan dalam proses pembangunan masyarakat dan Negara. Senario inilah yang menjadi pencetus kepada lahirnya Program NILAM di sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca mula diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran pada tahun 1999 hasil keputusan mesyuarat  Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat Membaca peringkat Kementerian Pelajaran pada  tahun 1998. Surat Pekeliling Iktisas Bil 13/1998 mewajibkan semua sekolah melaksanakan program ini yang mempunyai  hasrat  murni mewujudkan budaya membaca dan budaya ilmu rakyat  Malaysia. Selaku payung kepada pelbagai adunan aktiviti  galakan membaca di sekolah,  program ini dilaksanakan bermula dengan tahun 1 bagi sekolah rendah dan tingkatan 1 bagi sekolah menengah. Rekod pembacaan murid-murid  ini diteruskan sehingga tamat persekolahan.

Gerakan untuk mencapai 100% penglibatan pelajar dalam program ini giat dijalankan oleh rangkaian Bahagian Teknologi Pendidikan  (BTP) di peringkat Negeri, Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian serta Pusat Kegiatan Guru. BTP juga turut mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah dalam merangka dan melaksanakan aktiviti sokongan pemantapan Program NILAM seperti Pertandingan Jejak Maklumat, Pertandingan Resensi buku  dan Pameran buku.  Malah Jemaah Nazir juga mengambil kira elemen pelaksanaan program NILAM ketika membuat pemantauan ke sekolah-sekolah. Namun begitu asas kejayaan pelaksanaan Program NILAM ini sebenarnya haruslah bermula di sekolah.

Pelaksanaan Program NILAM  yang berkesan perlu perancangan yang teliti dan mempunyai sasaran untuk dicapai. Dalam hal ini, pelaksanaan NILAM perlulah bersifat spesifik dan mempunyai petunjuk prestasi (KPI) yang boleh diukur. Contohnya meningkatkan 40% pembacaan berkualiti murid  supaya memberi  kesan kepada pencapaian Bahasa Melayu. 40% pembacaan murid  boleh diukur menerusi data pinjaman buku, rekod NILAM pelajar dan melihat peratusan peningkatan dalam Bahasa Melayu.  Sehubungan dengan itu, penubuhan Jawatankuasa NILAM peringkat sekolah yang diterajui oleh pengetua adalah perlu. Jawatankuasa ini perlu berbincang untuk;-

  1. Menetapkan objektif pelaksanaan Program NILAM peringkat sekolah.
  2. Menetapkan pencapaian sasaran.
  3. Membincangkan modus operandi pelaksanaan
  4. Mengenalpasti pihak-pihak yang terlibat
  5. Mewujudkan pelan pemantauan.
  6. Membincangkan bentuk ganjaran
  7. Membuat penambahbaikan secara berterusan.

Perancangan NILAM perlu bersifat realistik  dengan  mengambilkira  persekitaran, budaya dan iklim sekolah.  Perancangan yang dibuat mestilah bersifat jangka panjang dan jangka pendek. Perancangan jangka pendek merupakan perancangan tahunan dan bersifat semasa. Perancangan ini memberi fokus kepada gerakan membaca dan penerokaan maklumat pada tahun semasa. Bagi menjadikan program membaca sebagai satu budaya, perancangan jangka panjang yang mempunyai tempoh 3, 5 atau 10 tahun  perlulah digubal. Perancangan jangka panjang ini berfokuskan pembudayaan amalan membaca yang dapat mengubah senario budaya sekolah dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid. Masa yang panjang diambil untuk melihat perubahan dan keberkesanan perancangan yang digubal. Proses melaksana  apa yang dirancang  perlu dilakukan secara berterusan walaupun berlaku pertukaran pentadbir  sekolah.

Kejayaan Program NILAM  sangat bergantung kepada kepimpinan sekolah. Seperti yang dinyatakan oleh Rosenblum (1979) dalam tulisan-tulisannya berkaitan kepimpinan sekolah, seorang pengetua mempunyai peranan besar dalam mempengaruhi setiap individu di institusinya. Kepimpinan seorang pengetua mampu merubah  halatuju, membentuk iklim pembelajaran dan mempengaruhi tahap profesionalisme guru-guru  dalam pelaksanaan tugas serta pencapaian pelajar. Pengetua selaku pemimpin sekolah memainkan peranan penting dalam menggerak dan menjayakan program NILAM.

Pengetua yang memahami dasar dan matlamat NILAM akan menjadikan gerakan membaca ini sebagai kebitaraan sekolah. Pemahaman yang mendalam dan disertai dengan misi yang terancang membolehkan beliau menyampaikan taklimat kepada guru dan ibu bapa. memastikan program NILAM berjalan  lancar melalui pemantauan, perjumpaan dengan guru dan temubual murid, menjadi pendorong dan penggerak kepada seluruh warga sekolah, mengenalpasti masalah dan membuat penambahbaikan serta merancang  latihan dalam perkhidmatan kepada guru-guru supaya pengajaran di sekolah menjurus kepada pembacaan aktif. Kepimpinan yang memandang serius pelaksanaan NILAM akan membolehkan seluruh warga sekolah ‘bergerak dalam rentak yang sama’

Guru Perpustakaan Media (GPM) memainkan peranan penting sebagai suri teladan   terutama dalam  pelaksanaan proses P&P yang menjurus kepada pembacaan aktif.  GPM perlu bertindak sebagai

  1. Guru – memberi  arahan langsung kepada murid mengenai amalan membaca, literasi maklumat dan kemahiran mendapat ilmu pengetahuan.
  2. Rakan instruksional – bekerjasama dengan guru-guru untuk mengkaji keperluan maklumat, perkembangan kurikulum dan rekabentuk instruktional yang bersesuaian untuk mencapai objektif program.
  3. Pakar maklumat –  menunjukkan kepimpinan dalam kerja pengurusan maklumat seperti mengumpul, menyedia,  menyimpan dan mengedar maklumat untuk bacaan dan keperluan sekolah.
  4. Pentadbir program – melaksanakan tugas secara kolaborasi dengan guru dan pentadbir serta komuniti luar bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti berteraskan pembacaan.

GPM perlu sentiasa mempromosi Program NILAM dalam apa jua bentuk dan perlu dikenali oleh warga sekolah sebagai penggerak utama NILAM selain pemimpin sekolah. Jadikan NILAM sebagai fokus utama dalam pelaksanaan tugas. Dalam hal ini, GPM perlu menggunakan pelbagai pendekatan kemanusiaan  (human approach) untuk mendekati dan menarik perhatian guru-guru dan para murid. Biarlah dikenali sebagai ‘cikgu NILAM’ atau ‘cikgu yang selalu suruh membaca’. Jadikan NILAM sebagai bahan yang ditutur di bibir. Bersikaplah sebagai guru yang banyak  membaca dan mungkin menjadi idola kepada kebanyakan murid. GPM juga perlu bersifat inovatif dan kreatif dalam pelaksanaan aktiviti. Rancanglah aktiviti berteraskan pembacaan dan literasi maklumat yang bersesuaian dengan budaya sekolah .

 

Program NILAM berfokus  dan berkesan hanya akan tercapai dengan kerjasama semua pihak. Aktiviti secara kolaborasi dengan panitia boleh dilaksanakan sebagai penggalak. Antaranya;-

  1. Merancang dan melaksanakan pameran bertema dan pertandingan kuiz.
  2. Mengadakan aktiviti jejak maklumat dalam panitia.
  3. Merancang P&P secara bersama yang menggunakan kemahiran belajar dan literasi maklumat. P&P akan menjadi lebih aktif, berkesan dan berkualiti.
  4. Menggubal modul pembelajaran terutama bagi mata pelajaran bahasa yang akan mendedahkan murid  kepada budaya membaca dan penerokaan maklumat.
  5. Menetapkan sasaran pembacaan berkualiti mengikut panitia. Contohnya setiap murid  wajib membaca 3 buah buku sejarah dan ensiklopedia sains dalam setahun.
  6. Menjalankan pertandingan ko-akademik seperti syarahan, debat, kuiz, drama dan pertandingan reka cipta yang memerlukan murid  membuat kajian menerusi pembacaan.
  7. Mengadakan minggu-minggu mata pelajaran secara gabungjalin.
  8. Mengadakan projek-projek laluan ilmu mengikut panitia

Kolaborasi dengan panitia dan unit-unit lain di sekolah contohnya  Unit Bimbingan dan Kaunseling dan kelab persatuan akan menjadikan Program NILAM sebagai akar tunjang kepada seluruh pergerakan aktiviti sekolah. Kekuatan ini membolehkan penetapan objektif NILAM sekolah yang ditetapkan akan lebih mudah tercapai. Senario ini juga mampu mengubah budaya kerja guru-guru ke arah lebih professional dan cemerlang. Pemuafakatan dan ikatan antara warga sekolah  akan lebih erat terjalin.

Pelaksanaan NILAM secara menyeluruh juga akan mengubah senario sekolah.  Para murid  lebih terdorong senyap dan membaca. Dalam jangka panjang, budaya ini mampu memberi impak berkesan kepada pencapaian murid  dalam akademik, suasana bising akan hilang, masalah disiplin akan berkurangan dan lahirlah ramai pemimpin-pemimpin kecil yang bertindak sebagai Rakan Pembaca.  Kepimpinan yang digilap merupakan aset besar kepada sekolah dalam menyumbang kepada pencapaian pelajar dalam aktiviti kokurikulum.

Laluan-laluan ilmu yang diusahakan oleh panitia-panitia mata pelajaran akan menukarkan panorama sekolah kepada suasana ceria dan bermaklumat. Paparan maklumat di persekitaran sekolah boleh digunakan oleh guru-guru dalam aktiviti pembelajaran dan kokurikulum. Pembelajaran aktif  di luar bilik darjah senantiasa dinanti oleh para murid  kerana lebih menarik,  menyeronokkan dan berkesan. Alangkah menariknya murid-murid  berlari dan berlumba-lumba untuk mendapatkan ilmu !

Guru-guru di sekolah mempunyai pengaruh yang besar kepada murid-murid di sekolah.. Sehubungan itu, guru juga perlu menyertai Program NILAM. Pemimpin sekolah harus memainkan peranan menggalakkan guru-guru membaca bahan bacaan yang dapat membantu meningkatkan tahap profesionalisme keguruan. Guru-guru yang banyak membaca lebih banyak idea, bersikap kreatif, luas pengetahuan dan mampu memberi  sumbangan besar kepada kecemerlangan sekolah. Aktiviti susulan pembacaan seperti bicara buku, diskusi ilmu, penulisan ilmiah, kajian tindakan dan penghasilan modul pembelajaran mampu memberi  impak yang besar kepada keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Tambahan pula, pembelajaran tidak seharusnya dalam kepompong orientasi peperiksaan semata-mata.  Pembelajaran yang bersifat aktif dan terdedah kepada penerokaan  maklumat sebenarnya memberi pengalaman kepada murid-murid  corak pembelajaran di peringkat tinggi. Kaedah pembelajaran ini juga dapat mengurangkan budaya “suap” dan kebergantungan kepada guru semata – mata. Murid  yang terdedah kepada pembelajaran ke arah pembacaan yang aktif akan lebih bersifat survival, berdikari dan lebih bijak dalam proses berfikir dan penyelesaian masalah (Raja Abdullah Yaacob : 2008).  Pendekatan pembelajaran sepanjang hayat dapat dilaksanakan.  Guru-guru boleh merancang P&P yang menjurus kepada pembacaan aktif dalam bentuk kerja kursus, tugasan pembentangan, gerak kerja berkumpulan, berkongsi artikel,  majalah atau akhbar dalam kelas, bicara buku, pertandingan bercerita, aktiviti drama atau persembahan boneka.

Membaca adalah kegiatan yang boleh membangunkan intelektual, menyuburkan budaya ilmu, membentuk pemikiran kreatif dan dinamis serta membentuk keperibadian manusia. Justeru,  pelaksanaan Program NILAM yang terancang, sistematik dan berfokus mampu memberi impak berkesan kepada pembangunan sekolah samada dalam aspek kemenjadian murid maupun guru. Program NILAM sekiranya dilihat dalam dimensi yang mendalam merupakan salah satu strategi hebat yang mampu mengubah senario sekolah kepada sebuah institusi pendidikan cemerlang yang menjadi idaman pengetua maupun ibu bapa. Sistem pendidikan Negara telah melahirkan dua insan hebat yang telah berjaya memecah rekod pencapaian pelajar lain dalam peperiksaan SPM iaitu Nur Amalina Che Bakri (17 1A) dan Azali Azlan ( 20 1A dan satu 2A). Yang pasti kedua-duanya mempunyai persamaan iaitu telah dinobatkan sebagai Tokoh NILAM Kebangsaan !

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s